APMM Rampas 250KG Ikan Dipercayai Hasil Kaedah Bom Di Pulau Gaya

Ikan yang disyaki ditangkap menggunakan kaedah bom dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Gaya.Gambar kanan; Tiga botol berisi serbuk putih dipercayai peralatan untuk mengebom ikan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Gaya.- Foto ihsan APMM.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 250 kilogram (kg) ikan dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom di perairan Pulau Gaya, kelmarin.

Pasukan penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan, turut menemui dan merampas tiga botol mengandungi serbuk putih disyaki untuk kegunaan membuat bom ikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, beberapa kru bot nelayan terbabit bagaimanapun dilaporkan terjun ke laut bagi mengelak daripada ditahan apabila dihampiri bot peronda.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan, berkata terdahulu sepasukan anggotanya menjalankan rondaan Operasi Naga Timur di perairan Kota Kinabalu.

“Ketika meronda, sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dilihat berada dalam keadaan mencurigakan. Sebaik saja dihampiri, beberapa individu dari bot itu bertindak terjun ke laut lalu berenang ke arah daratan terdekat.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot itu, anggota menemui tiga botol minuman plastik mengandungi serbuk putih disyaki untuk kegunaan membuat bom ikan, peralatan menyelam dan 250kg ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap melalui kaedah bom,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, bot terbabit kemudian dibawa ke Jeti Maritim di Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Kamaruszaman menegaskan, pihaknya sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan serta pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara.

“Maritim Malaysia juga tidak akan berkompromi dengan pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara ini.

“Selain itu, bot nelayan tempatan yang didapati melanggar undang-undang maritim akan turut diambil tindakan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *