Bajet Negara 2020 ‘Indah Khabar Dari Rupa’ – PBS

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyamakan Bajet Negara 2020 dengan pepatah Melayu “indah khabar dari rupa.”

Menyifatkannya sebagai “tidak ada yang luar biasa dan tidak inovatif”, Anggota Parlimen Kota Marudu itu berkata Bajet Negara kelihatan menarik dari jauh, tetapi apabila dianalisa dengan terperinci, ianya tidak banyak perubahan.

“Indah khabar dari rupa … itulah yang saya maksudkan. Dari segi perbelanjaan pembangunan, daripada RM58 bilion diperuntukkan, hanya RM5.2b (atau kira-kira 9 peratus) untuk Sabah dan RM4.4b (kira-kira 7 peratus) untuk Sarawak, dan dijumlahkan hanya 16 peratus bagi kedua-dua negeri.

“Tiada apa-apa untuk dibanggakan.  Sekiranya Sabah dan Sarawak dianggap rakan kongsi di peringkat Persekutuan, kedua-dua negeri perlu diberi sekurang-kurangnya 30 peratus setiap peruntukan pembangunan,” tegasnya.

Beliau juga menambah bahawa pemimpin Pakatan Harapan, seperti Setiausaha Agung DAP sendiri yang sekarang memegang jawatan Menteri Kewangan, semasa pilihan raya umum ke-14, secara terbuka berjanji untuk meningkatkan royalti minyak kepada 20 peratus untuk Sabah dan mengembalikan 50 peratus semua cukai yang dikutip di Negeri ini.

“Di manakah janji-janji ini sekarang?  Berapa banyak yang telah dibayar?” tanya beliau ketika turut serta dalam membahaskan Bajet Negara 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Menyentuh tentang Wawasan Kemakmuran Bersama, yang secara terbuka mengisytiharkan kegagalan Visi 2020, Ongkili menegaskan perlu ada kertas putih bagi menjelaskan apakah kegagalan dan bagaimanakah Visi yang baru dirancang akan menyelesaikan kelemahan di masa lampau.

“Cabarannya adalah untuk memperjelaskan matlamat, peruntukan dan pelaksanaan kerana kita tidak mahu visi baru yang kononya dirancang dengan baik, akhirnya gagal juga. Kita tidak mahu setakat menabur janji sahaja, tunaikan.

“Jangan benarkan kenyataan mendiang Temanggong Jugah  Anak Berieng yang dibuat semasa pembentukan Malaysia menjadi kenyataan berulang. Petikannya yang terkenal: ‘Anang baka tebu, manis ba pun tang tabar ba ujung’ (Jangan seperti tebu, manis pada mulanya tetapi tidak enak pada akhirnya),” kata Ongkili.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa kekecewaan terbesar adalah sehari selepas pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama pada 5 Oktober, Perdana Menteri merasmikan Kongres Maruah Melayu di mana penganjur mengisytiharkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah milik orang Melayu  .

“Kenyataan ini mengejutkan ramai orang memandangkan sehari sebelum, kerajaan melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai asas kepada negara maju, kini ditetapkan untuk tahun 2030. Anda bercakap mengenai kemakmuran bersama tetapi secara terbuka mengisytiharkan negara ini milik satu kaum sahaja.

“Sekiranya ini menjadi asas bagi sebuah negara maju, maka kami percaya Visi baru akan tersasar dari objektif. Kenyataan seperti ini bukan sahaja bersifat perkauman tetapi akan melumpuhkan usaha kami dalam perpaduan nasional.

“Dimanakah anda meletakkan kaum-kaum lain di negara ini? Dan bagaimana pula dengan kita orang asli di Sabah dan Sarawak? Di Dewan Agung ini, semua Ahli Parlimen adalah pelbagai kaum … Malaysia adalah hak milik kita semua, bukan eksklusif untuj satu kumpulan etnik saja. Pernyataan seperti ini mesti dihentikan,” katanya.

Menyentuh isu keselamatan di Sabah, beliau berkata penduduk tempatan menyatakan kekecewaan bahawa pencerobohan oleh penyamun dan pendatang tanpa izin masih berterusan.

“Pasukan keselamatan dan agensi kami mengadu bahawa mereka masih kekurangan aset dan peralatan. Kami merayu bahawa belanjawan yang diluluskan mesti disalurkan sepenuhnya tepat pada waktunya.

“Kerajaan Persekutuan telah merancang untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS). Kami menyatakan bantahan terhadap program ini kerana khuatir kemungkinan disalahgunakan oleh pegawai dan pemohon,” katanya.

Beliau mempersoalkan prosedur dan permintaan pemprosesan PSS dalam pembetian pas khas kepada 600,000 orang warga asing.

“Kami juga ingin tahu siapakah yang duduk dalam jawatankuasa pemantauan, apakah semak dan imbang untuk memastikan tidak ada penyalahgunaan sistem, dan apakah jaminan PSS hanya diberikan kepada pemohon yang layak.

“Dengan penangkapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara baru-baru ini di Sabah dan Pulau Pinang, dan banyak penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang lalu, kami mendapati sukar untuk mempercayai operasi dan ketelusan jabatan itu. Ia memerlukan pembersihan menyeluruh dan secara besar-besaran,” tegas Ongkili.- SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *