5 Temasuk Dua PATI Ditahan Sedang Mengebom Ikan

Lima suspek termasuk dua PATI yang ditahan ketika sedang menangkap ikan menggunakan bom berhampiran Sutera Harbour.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pam bersama lima lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bom semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata, bot pam berwarna oren yang kelihatan mencurigakan itu ditahan oleh bot peronda Zon Maritim Kota Kinabalu ketika menjalankan rondaan di sekitar pantai Sutera Harbour pada 9.55 pagi semalam.

Dua PATI yang ditahan ketika mengebom ikan berhampiran Sutera Harbour.

“Semasa pihak maritim menghampiri bot nelayan tersebut, kelihatan dua orang lelaki sedang melakukan selaman menarik pukat yang berada di dalam air berhampiran bot.

“Setelah bot diperiksa didapati lima orang awak-awak termasuk tekong berada di atas bot berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kamaruszaman berkata, tiga daripada mereka adalah warga tempatan manakala dua orang lagi status tidak dapat ditentukan.

Beliau berkata, lima lelaki berkenaan yang berada dalam lingkungan 14 hingga 54 tahun tidak mempunyai nama yang sama seperti dalam lesen bot dan mendapati lesen perikanan bot tersebut juga telah tamat tempoh.

Menurutnya, bot dan lima lelaki itu kemudian dibawa ke jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan juga kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga 2002.

Sementara itu, Kapten Maritim Asmarawati Binti Mohd Tujeri berkata, pihaknya giat melaksanakan operasi khas bersempena pelancaran Operasi Naga Timur yang dilaksanakan oleh pihak Maritim Malaysia pada 1 Ogos 2019.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan sentiasa melakukan risikan dan pemantauan sebarang aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan nelayan asing yang mengaut hasil laut negara.

Jelas beliau, pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

“Selain itu, mana-mana bot bot nelayan tempatan yang melanggar undang-undnag maritim juga akan diambil tindakan.

“Pihak Maritim Malaysia Sabah mohon berkerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan jenayah di laut ke talian 088-270185 Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah,“ katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *