Menyamar Jadi Pembasmi Nyamuk Sebelum Rompak

Gambar Hiasan

PENAMPANG: Ditolak sehingga jatuh sebelum mulutnya ditutup menggunakan kain. Itu detik cemas dihadapi seorang wanita warga emas ketika rumahnya dimasuki penjenayah dalam kejadian di Jalan Santung, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 72 tahun diperdaya dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja pembasmi nyamuk di kawasan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 malam daripada anak mangsa bahawa rumah mereka dimasuki pencuri.

“Menurut pengadu, ketika kejadian ibunya berseorangan di rumah dan tiba-tiba didatangi dua suspek menyamar sebagai pekerja pembasmi nyamuk Aedes.

“Mangsa kemudian membenarkan mereka masuk ke dalam rumah. Sebaik masuk, mangsa ditolak sehingga terjatuh sebelum bertindak menutup mulut mangsa menggunakan kain,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa tidak dapat melawan disebabkan faktor usia dan sukar untuk berjalan.

“Suspek pula masuk ke dalam bilik dan menyelongkar barang milik mangsa sebelum bertindak melarikan diri menggunakan kereta berwarna merah.

“Hasil pemeriksaan, tabung berisi wang syiling dianggarkan berjumlah RM10 dilarikan dan wanita terbabit cedera calar di bahagian siku sebelah kanan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Haris berkata, pihaknya giat mengesan dua suspek berkenaan.

“Salah seorang daripadanya bertubuh tinggi dan gemuk manakala seorang lagi kurus dan rendah. Kes disiasat Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *