Kerjasama Ekonomi Akan Rancak Bila Jalan Raya Sabah-Kalimantan Dibina

Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah-Malaysia dan Indonesia-Kalimantan perlu bekerjasama dalam bagi membangunkan kemudahan infrastruktur jalan raya untuk menghubungkan Sabah dengan Kalimantan.

Langkah itu bagi membolehkan kerjasama dalam sosio-ekonomi mahupun pelancongan dapat dijayakan dengan lebih berkesan.

Presiden Dewan Perniagaan & Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau berkata, tanpa hubungan jalan raya yang baik antara Sabah dengan Kalimantan, sukar untuk pelabur dan usahawan kedua-dua wilayah menjalin kerjasama dengan baik.

Beliau berkata, inisiatif sebegitu perlu dilakukan berikutan keputusan Kerajaan Republik Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur menjelang 2024.

Katanya, kedua-dua wilayah ini mungkin boleh memperkukuhkan kerjasama melalui Sosio-Ekonomi Malaysia dan Indonesia (Sosek-Malindo).

Wong berkata, biarpun pembangunan di Kalimantan Timur (Kaltim) tidak akan berubah secara drastik dalam masa terdekat ini namun, Sabah perlu bersedia lebih awal menjalin kerjasama ekonomi dengan Kalimantan.

Kataya, Indonesia dijangka akan menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Jika dilihat Sabah dan Kalimantan mempunyai banyak persamaan dari segi sumber asli seperti minyak dan gas, arang batu, balak mahupun dalam sektor perikanan.

“Kekayaan sumber asli di kawasan yang dikenali sebagai ‘Heart of Borneo’ ini membolehkan wilayah-wilayah ini berpotensi untuk dibangunkan.

“Biarpun Sabah tidak membangun dari segi perindustrian berbanding Semenanjung Malaysia namun, Sabah boleh memanfaatkan persamaan sumber yang ada itu untuk menjalin kerjasama ekonomi dengan Kaltim,” katanya ketika ditemui, di sini pada Rabu.

Wong berkata, populasi rakyat di Kalimantan yang lebih besar berbanding Sabah harus dimanfaatkan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dalam sosio-ekonomi.

Menurutnya, Sabah harus mula mengenalpasti bidang yang boleh diusahakan bersama dengan Kalimantan.

Bidang seperti perkayuan dan pembuatan perabot, minyak dan gas, perikanan, pendidikan serta pelancongan antara bidang berpotensi yang boleh diusahakan bersama antara Sabah dan Kalimantan.

“Kita mungkin boleh melihat potensi dalam industri perkayuan. Kalimantan mempunyai bekalan kayu dan balak yang cukup banyak, begitu juga Sabah.

“Oleh itu, sekiranya kedua-dua wilayah dapat bekerjasama untuk membekalkan kayu di pasaran antarabangsa, itu mampu mengukuhkan ekonomi di kedua-dua wilayah ini,” ujarnya.

Begitu juga dengan industri perikanan seperti makanan laut yang mana, Kalimantan mempunyai makanan laut yang cukup banyak. Sabah juga mengimport makanan laut dari Tarakan.

Namun, sebelum menjalankan aktiviti eksport-import, kemudahan pelabuhan sedia ada di Sabah perlu dipertingkatkan agar mampu memenuhi kapasiti yang lebih besar.

Katanya, Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Lahad Datu akan bersaing apabila wujudnya Kalimantan mewujukdan pelabuhan sendiri (inland port).

Untuk itu, Kerajaan Sabah Pemerintah Kalimantan perlu melihat bagaimana untuk menjalin kerjasama bagi memanfaatkan pelabuhan yang ada di Sabah dan Kalimantan secara bersama.

Wong berkata, dalam menjayakan kerjasama Sabah-Kalimantan, penggiat industri yang berpusat di Semenanjung Malaysia juga perlu mengambil langkah memindahkan perniagaan ke Sabah yang berada dekat dengan kalimantan.

Katanya, industri seperti pembinaan serta elektrik dan elektronik mungkin boleh dikembangkan ke Sabah dan seterusnya ke Kalimantan.

Jika ekonomi Indonesia menjadi kuasa ekonomi keempat dunia, sudah pasti industri yang berada di Sabah akan mendapat limpahan ekonomi.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *