‘Jangan Tunggu Lama-Lama’

Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran).

KUALA LUMPUR: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang tertangguh hampir setahun perlu dimulakan semula segera demi kepentingan rakyat yang mengimpikan perhubungan jalan raya moden.

Untuk itu, segala rundingan dan perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dengan Kementerian Kewangan untuk memulakan semula pembinaan projek itu wajar menemui titik persetujuan secepat mungkin.

Mahukan sesuatu yang lebih konkrit dicapai, Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) memaklumkan, perbincangan kedua-dua kementerian sedang dilakukan bagi menilai semula kos keseluruhan pembinaan jalan raya berkenaan.

“Segerakanlah keputusan penilaian semula itu, jangan tunggu lama-lama kerana ini semua demi rakyat,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut menuntut pengembalian hasil 40 peratus yang dikutip di negeri itu ditunaikan, seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau) bangun untuk mencelah namun tersasul dengan menyebut ‘meminta jalan’.

Keadaan spontan itu membuatkan Dewan gamat apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mencelah dan berkata: “Jalan belum buat lagi Keningau.”

Madius kemudian memberi izin bagi Jeffrey mencelah dan sempat diusik Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, yang berkata: “Silakan Keningau, jalan sudah ada.”

Jeffrey meminta jumlah tunggakan hasil sejak 56 tahun lalu diperincikan, namun Tangau mengakui tidak mempunyai butirannya.

“Berapa pun jumlahnya, Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan janji dan mencari mekanisme terbaik membayar tunggakan berkenaan kerana ia hak rakyat Sabah,” katanya.

Jonathan Yasin (PH-Ranau) turut mencelah dan mahu mengetahui jumlah peruntukan antara tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dilaporkan jauh berbeza sejak 1966 hingga tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan peruntukan Semenanjung dalam tempoh itu adalah RM468.8 bilion, Sabah mendapat RM71.65 bilion manakala Sarawak menerusi RM61.9 bilion.

Bersetuju dengan angka itu, Madius berkata, faktor itu menyebabkan berlaku jurang pembangunan ketara antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang bertentangan prinsip MA63.

Dewan hampir sepi menjadi gamat apabila Jonathan membangkitkan isu buluh yang kerap menjadi bahan jenaka.

“Jika mereka tidak mahukan industri buluh dibangunkan, elok serahkan kepada Sabah kerana pemerintahan Barisan Nasional (BN) memberi penekanan terhadap industri itu menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), malah adadana penanaman buluh,” katanya.

Bersikap lebih realistik, Madius mengakui Sabah mahukan pembangunan semua industri termasuk buluh, namun ada kekangan logistik dan kemudahan asas yang menyukarkan pengeksportan produk tempatan.

“Dasar kabotaj yang dulunya hanya membenarkan kapal dagang Malaysia mengangkut kontena dari pelabuhan Sabah, kini sudah diliberalisasikan tetapi belum ada syarikat kapal dagang asing mendaftar selepas dua tahun,” katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan statistik jumlah penduduk Sabah dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia seramai 3.9 juta orang sedangkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya 2.8 juta orang mendaftar.

“Dari mana penduduk lebih 700,000 orang tu, adakah mereka pendatang tanpa izin yang menggunakan dokumen pengenalan palsu atau dokumen sah tapi diperoleh secara haram,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *