Fitnah Tentang PATI Oleh PBS Terbongkar

ABDUL RAHMAN KONGKAWANG

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Bersatu Sabah sebenarnya telah melakukan siasatan terhadap dakwaan kononnya kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan setinggan bertujuan untuk memberi kad pengenalan (MyKad) kepada Pendatang Asing Tanpa Izin tetapi tiada bukti diperolehi.

Bekas naib Presiden PBS, Abdul Rahman Kongkawang berkata, walaupun tiada bukti, namun manipulasi PBS terhadap isu itu menjadi lebih berkesan apabila tersebar di media sosial tentang pengedaran borang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang tertera logo Warisan sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Katanya, selain itu, kepantasan kerajaan terutama JPN hadir ke tempat kejadian untuk mengambil maklumat mangsa amat mudah disalah anggap sebagai memberikan dokumen kepada PATI, justeru kesempatan diambil oleh pembangkang untuk memburuk-burukkan lagi kerajaan.

“Ini bagi kita dahulu adalah sebenarnya antara motif kerajaan, itu yang kami cakap dulu dan kenapa boleh dikatakan begitu kerana kebakaran yang bersiri dan tindakan cepat diambil kerajaan terutama sekali dalam memberi dokumentasi serta sebenarnya laporan daripada pemimpin kawasan terlibat bahawa ada tilam bantal semua sempat dikeluarkan tetapi dokumen tidak sempat.

“Jadi bila borang itu diambil gambar dan ada lambang Warisan maka di situlah bermula, sebab itu kami waktu itu buat kunjungan ke JPN minta data pengeluaran MyKad, jumlah dokumentasi yang diterima berapa jumlah terkini ertinya permohonan terbaharu itu yang kami lakukan kalau data bersesuaian dengan jumlah mangsa kebakaran antaranya yang boleh menyokong ini betul-betul berlaku tetapi penjelasan daripada Pengarah, Datuk Ismail Ahmad perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Abdul Rahman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk dan bekas Ahli Jawatankuasa Menangani PATI dalam PBS berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini.

Sehubungan itu bekas Naib Presiden PBS itu berkata, sejak memasuki Warisan, beliau berhasrat untuk membetulkan kembali keadaan terutama segala fitnah ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkaitan pemberian dokumen kepada PATI.

“Ini sebenarnya yang akan kita perhalusi, kebetulan saya pun sudah berada dalam kerajaan dan dibenarkan untuk hadir dalam setiap mesyuarat jadi ini juga antara fokus yang saya akan ambil perhatian untuk memastikan bahawa semua fitnah berhubung dengan kononnya penempatan PATI yang kita sediakan di seluruh kawasan ini tidak betul.

“Jadi ini yang akan saya fokuskan untuk membantu Ketua Menteri menidakkan fitnah-fitnah yang dilontarkan kepada beliau, tetapi kalau kita bersuara sahaja tiada tindakan yang konkrit dalam penyelesaian ini saya ingat tidak akan selesai,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS), katanya itu lebih baik berbanding PBS yang tidak melakukan apa-apa walaupun ada jawatankuasa khas disediakan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai tidak pelru terburu-buru menuduh kerajaan atau terpengaruh dengan fitnah tidak betul berkaitan PSS, sebaliknya beri peluang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan dasar yang telah ditetapkan itu terlebih dahulu. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *