400 Rumah, Sembilan Pulau Di Semporna Dapat Bekalan Elektrik Solar Hibrid

Pengurus Besar Penjanaan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jait Aziz ketika ditemui media.

SEMPORNA, 16 Okt: Walaupun Pulau Bait 1 masih tidak disambungkan dengan sistem grid elektrik, namun bekalan kuasa itu masih mampu dinikmati penduduk kawasan pulau berkenaan selama 24 jam selepas pewujudan Stesen Solar Hibrid (SSH).

Pengurus Besar (Penjanaan) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jait Aziz berkata kemudahan asas itu mula dinikmati penduduk pulau berkenaan sejak 2013 dengan pembinaan sistem solar yang menjana seterusnya menyalurkan bekalan elektrik kepada pengguna.

Stesen Solar Hibrid ini mampu membekalkan elektrik kepada 400 rumah di sembilan pulau di Semporna.

“Projek solar ini mendapat peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sebelum diserahkan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk dikendalikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Stesen Solar Hibrid pulau itu, dekat sini, hari ini.

Menurut Jait, selain Pulau Bait, terdapat lapan pulau lagi di Semporna turut dibekalkan dengan SSH, sekali gus kemudahan itu memberi manfaat kepada kira-kira 400 rumah yang berdaftar di sembilan pulau.

“Sebelum ini, ada di antara penduduk kampung menggunakan set generator untuk menjana bekalan elektrik, selain menggunakan lilin atau pelita, dan bekalan elektrik itu terhad pada satu masa kerana kos minyak yang tinggi.

Stesen Solar Hibrid ini mampu membekalkan elektrik kepada 400 rumah di sembilan pulau di Semporna.

Kini aktiviti penduduk kampung tidak lagi terbatas pada siang hari, malahan mereka sekarang jauh lebih selesa termasuk memudahkan anak-anak belajar,” katanya.

Pulau lain di Semporna yang mendapat manfaat daripada SSH itu adalah Pulau Pababag, Pulau Bait 2, Pulau Larapan, Pulau Omadal, Pulau Selakan, Pulau Sumandi, Pulau Denawan dan Pulau Menampilik.

Jait berkata di Sabah terdapat 34 SSH yang beroperasi dan membekalkan elektrik kepada pengguna khususnya di kawasan pedalaman serta pulau kecil.

Sementara itu, Ketua Adat Kampung Bait di pulau itu, Mohammad Gemuk berkata pewujudan stesen itu mengubah kehidupan penduduk kerana bekalan elektrik yang disalurkan juga secara langsung menggalakkan ekonomi setempat dengan penduduk membuka perniagaan runcit.

Katanya, rakyat akan sentiasa menyokong inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya untuk dinikmati dan mereka  tidak disisihkan daripada rancangan pembangunan

Bagi, suri rumah, Faridah Abu Kasim, adanya SSH itu, dia mampu melakukan sehingga tiga kerja dalam satu masa.

“Misalnya, sambil masak nasi, cuci kain dan jaga anak boleh dilakukan dalam satu masa, adanya elektrik solar ini menjimatkan masa kami untuk buat kerja-kerja rumah.

Selain sebelum ada solar ini, saya menyewa genset (set generator), kami terpaksa bayar RM30 sebulan dan ketika itu, ianya susah, kalau mau guna, kami kena bagi tahu orang yang bekalkan kuasa genset itu,” katanya lagi.

Manakala, Muhamad Aizar Ashraf, 12, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Bait itu, selesa belajar dengan adanya kemudahan elektrik SSH itu, berbanding sebelum ini yang perlu memasang pelita jika mahu belajar di waktu malam.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *