Lelaki Disyaki Pengedar Dadah Ditembak Cuba Serang Polis

Beg sandang serta beberapa barang lain turut dirampas pihak polis untuk siasatan lanjut. Gambar SNT/ PDRM

KINABATANGAN: Seorang lelaki disyaki pengedar yang cuba menyerang polis menggunakan parang cedera ditembak dalam kejadian di kawasan Ladang Long Manis, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan menjalankan operasi dipercayai sarang penagihan dadah di kawasan ladang berkenaan.

Dua peket plastik berisi dadah jenis syabu yang dibawa suspek dirampas. Gambar SNT/Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata ketika menjalankan tugas anggota polis mengesan seorang lelaki yang mencurigakan sedang menuju ke kawasan sarang penagih berkenaan.

“Pasukan polis kemudian cuba mendekati lelaki terbabit namun dia yang menyedari kehadiran polis terus bertindak mengambil parang dan berlari sambil melibas parang ke bahagian kepala anggota polis bertugas.

“Keadaan itu menyebabkan anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk memberhentikan serangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tembak itu menyebabkan suspek jatuh akibat terkena tembakan di bahagian pahanya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg sandang yang dibawa suspek menemui dua peket plastik besar berisi dadah jenis syabu. Suspek disyaki pengedar dadah di kawasan berkenaan.

“Suspek berusia 40-an dibawa ke Hospital Kinabatangan bagi rawatan dan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *