Ketua Jurulatih Baharu Kendali Sabah Dalam Saingan Liga Super

Flashback … Peter memeluk Jelius Ating semasa menyambut ketibaan skuad Tambadau yang berjaya memenangi Liga Premier pada pertengahan tahun ini. Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

KETUA JURULATIH BAHARU KENDALI TAMBADAU DALAM LIGA SUPER

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau akan dikemudi ketua jurulatih baharu dalam saingan Liga Super tahun depan.

Presiden Safa Datuk Peter Anthony berkata
Jelius Ating yang membimbing pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana musim ini tidak dapat meneruskan peranan atas sebab-sebab teknikal.

Menurut beliau Jelius tidak dapat membimbing Sabah kerana belum memiliki lesen jurulatih pro yang merupakan satu kemestian dalam Liga Super.

“Kita telah merayu kepada FAM agar memberi sedikit kelonggaran supaya Jelius terus mengendali pasukan namun tidak berjaya dan kita terpaksa akur.

“Oleh itu kita akan mendapatkan khidmat jurulatih dari luar,” kata Peter dalam sidang akhbar selepas Kongres Tahunan Safa selesai di Dewan Persidangan Ibu Pejabat JKR Sabah di Sembulan hari ini.

Peter berkata Safa tidak akan melepaskan Jelius begitu sahaja maka itu Safa amat berbesar hati agar Jelius terus kekal bersama pasukan Tambadau sebagai timbalan ketua jurulatih nanti.

Menjawab pertanyaan Peter berkata ketua jurulatih Sabah baharu itu berasal dari luar negara disebabkan tidak ramai jurulatih dalam negara yang mempunyai kelayakan dari segi lesen jurulatih pro.

“Bukan sahaja pemain kita import, jurulatih pun import. Namun kita tahu jurulatih ini mempunyai visi serupa dengan Safa,” jelas beliau.

Peter berkata nama ketua jurulatih baharu Sabah akan diumumkan setelah semua urusan pentadbiran selesai -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *