41 Ribu Penduduk DUN Balung Berdepan Krisis Air Kritikal

TAWAU, 15 Okt: Kira-kira 41,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung berdepan krisis air kritikal yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk tempoh jangka masa panjang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal berkata, ketika ini kapasiti loji air sedia ada yang membekalkan air ke DUN Balung lebih rendah daripada permintaan, mengakibatkan catuan terpaksa dilakukan.

“Harap Kerajaan Pusat dapat beri peruntukan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membangun beberapa prasarana yang dicadang bagi memenuhi keperluan air penduduk.

“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Air di Tawau, bekalan air lebih rendah daripada permintaan iaitu kurang 16 juta liter sehari dan keadaan ini bertambah buruk apabila paras air sungai menyusut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 Katanya kekurangan bekalan air kepada penduduk di kawasan itu menyebabkan catuan air dijangka akan terus dilaksana sehingga tahun 2022 dan ini tentunya mendatangkan pelbagai implikasi. 

“Kita tak perlu cerita air untuk sektor pelancongan atau industri jika air untuk keperluan penduduk pun tak boleh kita penuhi, penduduk sekarang berdepan krisis air kritikal sebab sudah tiga hari kawasan ini tiada air,” katanya lagi.

Osman berkata antara cadangan jangka pendek yang dimajukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu air di kawasan Balung termasuk mendirikan tangki dan pam air di Ranggu, Bukit Qouen Hill dan Kongsi 10.

Menurutnya untuk penyelesaian jangka panjang pula, antara cadagannya adalah untuk meningkatkan kapasiti loji di Utara dan Cinta Mata sehingga 50 juta liter sehari iaitu 30 juta liter di Chinta Mata dan 20 juta liter sehari di Utara serta perlu membina empangan.

“Empangan perlu dibina untuk meningkatkan kapasiti air ini secepat mungkin dan kita juga cadangkan satu loji air di Sungai Apas Batu 15 untuk tujuan sama, jika kerajaan mahu lihat Tawau maju, kena lakukan perkara ini.

 Loji Rawatan Air Utara membekalkan air ke 16 Perkampungan, taman dan sekolah keseluruhannya berdepan bekalan air kritikal.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *