Sempat Bersarapan Bersama Ayah Dan Dua Adik Buat Kali Terakhir

Ahli keluarga membawa jenazah mangsa kemalangan maut di Batu 37, Jalan Sandakan-Telupid di Sandakan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Seorang anak tidak menyangka sikap pelik bapanya memohon maaf menjadi petanda bahawa insan kesayangan akan pergi buat selamanya.

Amarani Raja, 27, bukan saja kehilangan bapanya, Raja Arasad, 47, malah dua adiknya, Jun, 24, dan Marsil, 15, serta bapa saudara, Hassan Arasad yang terkorban dalam nahas di Batu 37, Jalan Sandakan – Telupid, di sini semalam.

Keadaan kemalangan yang menyebabkan empat maut di Jalan Hutan Simpan berhampiran Simpang Beluran -Telupid di Sandakan, semalam. – Foto ihsan Bomba dan Penyelamat Beluran

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Ladang Telisai untuk pulang ke Sandakan sebelum bertembung sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan lain.

Amarani berkata, kali terakhirnya bertemu bapa dan dua adiknya itu adalah pada minggu sebelum ketiga-tiga mangsa ke ladang untuk bekerja.

Foto ihsan Bomba dan Penyelamat Beluran

“Sebelum berangkat, kami sempat bersarapan bersama dan ayah berulang kali memohon maaf kepada saya sambil memberitahu dia tidak sempurna dalam mendidik anak-anak. Tidak sangka itu petanda dia akan pergi buat selamanya bersama adik-adik.

“Siapa tidak sedih empat ahli keluarga `hilang’ serentak, namun kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Amarani berkata, mereka sekeluarga juga terkilan kerana cuma mengetahui kejadian itu lewat petang semalam selepas melihat gambar yang tular di laman sosial.

“Kami cuba hubungi mereka melalui telefon selepas sedar mereka belum tiba di rumah waktu petang, namun panggilan tidak dijawab. Kami hanya tahu mengenai kemalangan itu apabila seorang rakan memaklumkan gambar sudah tersebar di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata siasatan awal mendapati kereta PROTON Saga dinaiki mangsa bertembung sebuah lori tiga tan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca adalah baik dan jalan kering. Semua mangsa maut di lokasi kejadian dan tersepit dalam kenderaan yang remuk, manakala pemandu lori yang berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *