Sabah & Sarawak Cadang Wujudkan Syarikat Penerbangan Bersama

Mohd Shafie (kanan) dan Abang Jo (kiri) semasa sidang akhbar bersama siang tadi di PPNS.

KOTA KINABALU, 15 Okt: Kerajaan negeri Sarawak bercadang bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah mengkaji kemungkinan mewujudkan syarikat penerbangan milik kedua-dua negeri itu, dalam usaha mempertingkatkan lagi jaringan perhubungan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jaringan perhubungan yang baik antara kedua negeri itu diperlukan, untuk membangunkan negeri khususnya industri pelancongan.

“Oleh itu saya mencadangkan kita (Sabah dan Sarawak) boleh membuat kajian mewujudkan sebuah syarikat penerbangan kepunyaan Malaysia, yang dimiliki Sabah dan Sarawak.

“Ini (syarikat penerbangan sendiri) akan merancakkan lagi industri pelancongan dan jaringan perhubungan di antara pusat atau apa sahaja hab yang boleh kita wujudkan di rantau ini. Ini adalah satu cadangan daripada kerajaan negeri Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam meraikan beliau dan rombongan, sempena lawatan dua hari di Sabah, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan semua barisan kabinet negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata sekiranya syarikat penerbangan itu tidak boleh dilaksanakan, satu alternatif lain akan dirancangkan bagi mempertingkatkan jaringan perhubungan.

“Kalau boleh dibuat kita akan buat dan kalau tidak boleh, kita akan cari alternatif lain untuk membangunkan perhubungan, khususnya dalam industri pelancongan, kerana saya lihat masa hadapan adalah cerah dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini Sarawak telah mengumumkan empat dasar untuk menuju ke negeri paling maju melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Salah satu dasar itu adalah untuk mempertingkatkan industri pelancongan dan sudah tentunya menubuhkan syarikat penerbangan ini, yang akan memajukan lagi sektor berkenaan bukan sahaja di Sarawak malah di Sabah dan Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Shafie dalam sidang media yang sama berkata kerajaan Sabah tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tersebut.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk membuat kajian kerana Sabah dan Sarawak mempunyai lesen. Sarawak mempunyai syarikat Hornbill Skyways dan Sabah ada Sabah Air. Sudah semestinya kita memerlukan jaringan perhubungan yang baik, kerana banyak lagi kawasan luar bandar yang sukar dikunjungi.

“Saya rasa dengan ada jaringan perhubungan yang baik, Sabah dan Sarawak boleh menjadi jambatan memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan negara jiran, seperti Brunei dan Indonesia.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *