Lelaki Indonesia Ditahan Rogol Tiga Beradik Perempuan Di Telupid

Gambar Hiasan

BELURAN: Tiga beradik perempuan di sebuah kampung di Telupid, di sini mengalami detik hitam dalam hidup mereka selepas dipercayai dirogol seorang lelaki warga Indonesia, sejak penghujung tahun lalu.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 24 tahun itu terbongkar selepas semua mangsa berusia 7, 9 dan 12 tahun menceritakan kejadian itu kepada ibu saudara mereka minggu lalu.

Susulan itu, ibu saudara kanak-kanak terbabit membuat laporan di Balai Polis Telupid jam 10.24 malam, 8 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata berdasarkan laporan polis itu suspek ditahan pada Khamis lalu.

“Suspek ditahan di satu kawasan ladang di Telupid selepas polis menerima laporan daripada ibu saudara mangsa.

“Siasatan mendapati salah seorang mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan suspek kerana kerap mengganggunya lalu mengadu kepada ibu saudaranya yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa.

“Selepas itu, ibu saudara mangsa bertanyakan kepada dua lagi kakak mangsa dan mendapati mereka juga turut menerima gangguan seksual yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kasim berkata, siasatan juga mendapati suspek mengambil kesempatan ke atas mangsa kerana tinggal di rumah yang sama.

“Suspek adalah pekerja kebun keluarga mangsa dan diberikan tempat tinggal di rumah keluarga mangsa hampir setahun yang lalu.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *