Kerajaan Sabah Pandang Serius Isu Penyeludupan Keluar Buahan-Buahan Spesies Endemik

KOTA KINABALU, 14 Okt: Kerajaan Negeri Sabah memandang serius dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi mereka yang terlibat menyeludup keluar biji benih durian dan buahan-buahan spesies endemik Sabah, sama ada yang dilakukan oleh pelancong asing atau penduduk tempatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan berkata Sabah dianugerahi dengan spesies tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan endemik yang hanya boleh didapati di negeri ini.

“Oleh itu sumber biologi itu adalah merupakan aset kepada Sabah dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi sumber biologi ini daripada dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan terutama sekali oleh rakyat asing yang menggunakan aktiviti pelancongan bagi menyembunyikan aktiviti penyeludupan keluar dan penjualan secara haram biji benih durian dan buah-buahan spesies endemik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang untuk membawa keluar, memindah atau mengeksport sumber biologi keluar dari Sabah tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Biodiversiti Sabah.

Katanya, sekira didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM30,000 sehingga   RM100,000 atau penjara minimum enam bulan dan tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Hashim berkata satu Jawatankuasa Tindakan Khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Pusat Biodiversiti Sabah telah dibentuk bagi mengambil tindakan lanjut dalam menangani isu penyeludupan dan penjualan biji benih durian dan buah-buahan spesies endemik Sabah. 

“Tindakan ini akan dilakukan secara bersepadu bersama-sama dengan Jabatan Kerajaan Negeri yang lain diantaranya Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan serta pihak berkuasa seperti polis dan imigresen,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *