Empat Maut Kereta Bertembung Lori Di Jalan Beluran – Telupid

Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk teruk. Foto Ihsan Bomba

SANDAKAN: Empat maut selepas kereta dinaiki bertembung lori tiga tan di Jalan Hutan Simpan berhampiran simpang Beluran-Telupid, Sandakan pada 1.30 tengah hari ini.

Bagaimanapun, identiti semua mangsa belum dapat dikenal pasti lagi.

Keadaan kereta terbabit kemalangan di Jalan Hutan Simpan berhampiran simpang Beluran di Sandakan. – NSTP/Ihsan Bomba dan Penyelamat Beluran

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 1.43 tengah hari.

Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi dengan segera.

“Komander operasi memaklumkan kemalangan antara lori dan sebuah Proton Saga serta membabitkan lima mangsa.

“Pemandu lori terselamat, namun empat mangsa dalam kereta tersepit dan dikeluarkan pasukan, seterusnya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu memberitahu operasi ditamatkan pada 2.36 petang.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *