Penunggang Motor Maut Motosikal Terbabas Ke Parit Elak Langgar Kerbau Melintas

Motosikal mangsa dipercayai terbabas ketika mengelak melanggar kawanan kerbau yang melintas jalan raya. – Gambar SNT/Ihsan Polis

PAPAR: Seorang lelaki maut akibat lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas dipercayai ketika mengelak kawanan kerbau yang melintas jalan di Jalan Estate Bongawn Kampung Gentua, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu mangsa Jaidi Jacob, 34, menunggang motosikal jenis Honda EX5 seorang diri dari Kampung Ambatuan menuju ke Borneo Golf, Bongawan.

Mayat mangsa dipercayai lemas di dalam parit selepas terbabas ketika mengelak melanggar kawanan kerbau melintas jalan di Jalan Estate Bongawan, Papar. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai mengelak kawanan kerbau yang melintas jalan lalu terbabas.

“Mangsa kemudian tercampak ke kiri dan masuk ke dalam parit manakala motosikalnya masih berada di jalan raya.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa berada di dalam air parit dan dipercayai mati lemas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jelasnya siasatan masih diteruskan dan tiada saksi awam yang tampil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis setakat ini. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *