PGA Rampas Rokok Seludup Bernilai RM148 Ribu Di Sandakan

Lelaki warga asing ditahan bersama rokok seludup ditemui dalam bonet kenderaan Proton Iswara dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Batu 8, Sandakan pagi tadi. – Ihsan PGA

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 merampas 9,216 kotak rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM148,684 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Batu 8, Sandakan pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.30 pagi itu, dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dipercayai dalang sindiket penyeludupan rokok berjaya ditahan.

 Pelbagai jenis rokok yang berjaya ditemui dari bonet sebuah kenderaan yang ditahan.

Ketika ditahan, kedua-dua suspek tidak menyedari pergerakan mereka sedang diperhatikan pihak berkuasa dan hanya kaku sebaik diserbu anggota Unit Tiger Platoon PGA Batalion 20.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata serbuan itu sebahagian daripada operasi khas, Ops Taring Khas, hasil maklumat risikan dan aduan awan mengenai kegiatan mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan, kita berjaya menemui sebanyak 3,540 kotak rokok dalam bonet kenderaan jenis Proton Iswara berwarna hitam.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa penemuan 5,676 kotak rokok seludup dalam bonet kereta jenis Honda Accord di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, kedua-dua kenderaan dan sebuah lagi motosikal dipercayai milik suspek turut disita dan rampasan dianggarkan bernilai RM19,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Nilai keseluruhan nilai adalah sebanyak RM167,684 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *