Jabatan Air Potong 25 Sambungan Haram Punca Tekanan Rendah Di Sepanggar

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menjalankan operasi memotong semua penyambungan haram di paip-paip miliknya di Kampung Suang Parai yang menjadi antara punca tekanan air rendah di kawasan Sepanggar.

Pengarah JANS, Datuk Amarjit Singh berkata, penyambungan haram berkenaan merupakan antara punca berlaku tekanan air rendah di beberapa taman perumahan antaranya Bandar Sierra, Kingfisher, dan Sulaman.

Katanya, operasi tersebut dijalankan selepas Unit Penguatkuasaan JANS berjaya menemukan sebanyak 25 sambungan haram di dua batang paip milik JANS di sepanjang Jalan Yayasan Kampung Kibagu.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak aduan masalah air yang rendah diterima, bila kita buat pemeriksaan loji keluarkan air mengikut spesifikasi tetapi tekanan air rendah jadi kita buat pemantauan selama dua minggu.

“Ada isu baru-baru ini di Bandar Sierra, Kingfisher dan kita dapati banyak penyambungan haram di Kampung Suang Parai, kita dapati kira-kira 25 sambungan haram di situ,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JANS hari ini.

Amarjit berkata, penyambungan haram bukan sahaja akan menyusahkan pengguna berbayar tetapi turut merugikan hasil kutipan kerajaan disebabkan pembaziran dan kerosakkan terhadap paip-paip milik JANS.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar membantu JANS membuat laporan jika melihat penyambungan haram tersebut supaya tindakan segera dapat diambil sebelum keadaan melarat.

“Bila berlaku sambungan haram di sinilah kerajaan rugi, yang pertama daripada segi kutipan yang kedua kadar air tidak berhasil (NRW), sebab itu saya dapati NRW tidak turun, kekal 52 peratus.

“Bila kita buat operasi begini haraplah penduduk di kawasan itu tidak lagi mencuri air atau merosakkan harta benda kerajaan,” katanya.

Sementara itu, hasil pemerhatian Borneo Today di lokasi penyambungan haram mendapati, pihak tidak bertanggungjawab berkenaan licik memilih paip yang diliputi rumput dan terlindung daripada mata kasar.

Paip utama tersebut kemudiannya ditebuk sebelum disambung dengan poly paip bersaiz kira-kira seinci yang terus ke rumah penduduk.

Difahamkan, golongan tersebut turut menjual air yang dicuri itu kepada pihak ketiga untuk mengaut keuntungan atas angin walaupun tahu tindakan berkenaan menyalahi undang-undang.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *