Amarjit Singh Dinasihat Terus Bertugas Sebagai Pengarah JANS

Amarjit pada sidang media hari ini. FotoNorasikin Daineh

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS) Datuk Amarjit Singh meneruskan tugasnya hari ini sebagai pengarah di jabatan itu selepas mendapat nasihat daripada Kabinet Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Amarjit berkata, menterinya (Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony) juga mengarahkannya untuk terus bekerja.

“Saya dinasihatkan oleh Kabinet Negeri untuk meneruskan (tugas) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hubungi saya semalam dan beliau berkata ‘pergi kerja’.

“Menteri juga kata ‘pergi kerja’. Saya kata OK,” katanya ketika ditanya berhubung statusnya sebagai Pengarah JANS berikutan pengisytiharan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, bahawa pelantikan beliau sebagai Pengarah JANS sebagai tidak sah semalam.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, mengisytiharkan pelantikan beliau sebagai Pengarah JANS adalah tidak sah.

Penghakiman itu dibuat Hakim Ravinthiran R Paramaguru, berkaitan kes difailkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee pada 19 Mac lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit pada Ogos tahun lalu tidak mengikut undang-undang.

Teck Lee dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung ketika memfailkan kes itu menyatakan bahawa pelantikan berkenaan bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Ia berikutan Seksyen 3 dalam enakmen itu yang menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan mestilah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah JANS, Amarjit bukan anggota perkhidmatan awam.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *