Cabul Kanak-Kanak Perempuan, Polis Tahan Penyelia Kilang Di Kalabakan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang penyelia kilang di Kalabakan ditahan polis, kelmarin, selepas dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan, di rumah pekerja, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, suspek, 50-an, yang juga warga tempatan didakwa meraba dan mencabul mangsa di beberapa bahagian dalam rumah termasuk dapur, ruang tamu dan bilik.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan sebayanya sedang bermain di halaman rumah pekerja terbabit.

Suspek itu kemudian memanggil mangsa untuk datang ke rumahnya yang terletak di tingkat dua rumah pekerja terbabit.

Mangsa dan rakannya yang mengenali suspek, tidak mengesyaki apa-apa lalu bertindak mengikut lelaki itu ke rumah.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa masuk ke dalam rumah dan meninggalkan rakannya di luar sebelum dia bertindak menutup pintu serta mula mencabul mangsa.

Bagaimanapun, mangsa bertindak melarikan diri, sebaik saja dipanggil rakannya yang sedang menunggu di luar rumah.

Mangsa kemudian menceritakan perbuatan keji suspek kepada rakannya, sebelum mereka memaklumkan perkara itu kepada ibu masing-masing.

Berang dan bimbang akan keselamatan anaknya, ibu mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis, semalam, seterusnya membawa kepada penahanan suspek di rumahnya pada hari yang sama.

Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, Polis Tawau ketika dihubungi masih belum memberikan sebarang pengesahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *