‘Memang Kami Kasihan Melihat Keadaannya Begitu Tetapi…’ – Anak OKU Dikurung Dalam Reban Ayam

Efendi dikurung dalam reban ayam oleh ibu bapanya. Agensi

JAKARTA: Akibat dilahirkan kurang upaya, seorang budak lelaki berusia 12 tahun dikurung ibu bapanya dalam reban ayam di belakang rumah keluarganya di Pamekasan, Jawa Timur, dan pernah memakan dedak lembu akibat terlalu lapar.

Bekas reban berukuran satu meter panjang dan 0.5 meter lebar dibuat daripada buluh dan kayu itu menjadi tempat Efendi menghabiskan waktu sehariannya, tanpa pakaian.

Efendi dikurung dalam reban ayam oleh ibu bapanya. Agensi

Dalam kurungan itu, Efendi makan, minum, buang air serta tidur.

Ketika wakil Kompas mengunjunginya Jumaat lalu, Moh Efendi berusaha berdiri dengan berpegang ke bilah buluh, cuba memegang tangan dan baju sebelum ketawa riang.

Namun, saat ditinggalkan, dia meronta-ronta seperti meminta dikeluarkan dari kurungan.

Moh Efendi mengalami kecacatan sejak berusia tiga tahun apabila tidak dapat berjalan atau bercakap, sebaliknya bergerak hanya dengan merangkak.

Keluarganya mendakwa, Efendi pernah ditempatkan di surau ketika mereka keluar bekerja di sawah namun dia selalu merangkak keluar dan memakan apa saja ditemuinya, termasuk dedak lembu, kulit buah, daun dan bunga.

Kompas melaporkan, keadaan itu menyebabkan ibu bapanya dikenali sebagai Hamzah, 47, dan Latifah, 36, membuat keputusan mengurung anak ketiga mereka itu bagi mengurangkan rasa bimbang mengenai keselamatannya ketika keluar bekerja.

Kejadian yang menyebabkan Hamzah dan Latifah tekad mengurung Efendi ialah apabila budak itu hilang dari rumah sebelum berjaya ditemui di kawasan pinggir sungai pada tengah malam.

“Memanglah kami kasihan melihat keadaannya begitu namun inilah nasib keluarga kami.

Saya dan isteri perlu bekerja mencari rezeki untuk terus hidup,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri tidak bersedia untuk mengurung anak sendiri namun selepas beberapa lama, mendapati ia lebih baik dan mereka tidak lagi bimbang apabila keluar bekerja.

Hamzah mendakwa, dia dan isteri pernah berusaha merawat anak mereka melalui cara tradisional, termasuk ditanam separuh badan perkuburan menerusi kaedah ritual.

“Terapi di hospital pernah dilakukan tetapi hanya sekali kerana kami tidak mampu berulang alik,” katanya.

Ketua Kampung Desa Angsana, Moh Masduki berkata, pihaknya pernah membantu dalam rawatan Efendi namun, selepas dua kali, ibu bapa budak itu menghentikannya atas alasan tiada wang untuk menghantarnya ke hospital.

Mereka juga memberi alasan sibuk bekerja sehingga tiada masa mendampingi Efendi di hospital.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan kenderaan menghantar Efendi ke hospital serta mengatur agar rawatan adalah percuma.

Beliau juga meminta agar Hamzah dan isteri menyediakan ruang yang lebih selesa untuk Efendi.

Sumber : Harian Metro, Kompas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *