Beberapa Pemain Sabah FA Bakal Digugurkan Hadapi Cabaran Liga Super 2020

Datuk Peter Anthony

SKUAD TAMBADAU HADAPI CABARAN LIGA SUPER 2020 BERWAJAH BAHARU-BEBERAPA PEMAIN BAKAL DIGUGURKAN

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau akan berwajah baharu dengan dibarisi beberapa pemain baharu untuk mengalas cabaran Sabah dalam Liga Super 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony menjelaskan keputusan mengugurkan beberapa pemain sedia ada telahpun dibuat dan ianya akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Dua pemain Amerika Selatan menjalani perlawanan ujian dengan skuad Tambadau di Stadium Likas semalam. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kita akan maklumkan kepada mereka dalam masa terdekat supaya mereka juga berpeluang mendapatkan tawaran dari pasukan baharu nanti,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan ujian dua pemain import luar negara di Stadium Likas semalam.

Menurutnya Liga Super amat berbeza sekali dengan Liga Premier dan seharusnya pasukan Tambadau perlu lebih bersedia dan cukup mantap di setiap bahagian jenteranya.

Selain daripada mendapatkan khidmat pemain import yang berkualiti dari luar negara, Peter berkata beliau juga telah mengarahkan pihak pengurusan untuk melihat kepada pemain-pemain Liga Super yang sedia ada bagi mengisi kekosongan di bahagian tengah, serangan dan pertahanan.

Tanpa menyebut nama-nama pemain yang diintainya, Peter berkata bolehlah dikatakan Sabah akan turut dibarisi pemain import tempatan dari Semenanjung pada musim hadapan.

Oleh itu, katanya Sabah sudahpun memulakan persiapan lebih awal untuk mencari para pemain termasuk mengadakan perlawanan ujian bagi beberapa pemain luar negara seperti pada semalam di mana dua pemain dari Amerika Selatan telah mencuba nasib untuk menyarungkan jersi Sabah.

Mereka ialah penyerang dari Brazil, Laerci Gomes Costa dan pemain tengah dari Argentina, Jose Augusto Sardon.

Bagaimanapun, Peter berkata keputusan hanya akan dibuat setelah pihak pengurusan melihat kesemua calon yang berminat bermain untuk Sabah.

Pada masa sama, beliau berkata pasukan akan menjelajah ke seluruh pelusuk daerah termasuk pedalaman Sabah di mana perlawanan persahabatan akan turut diadakan bagi melihat bakat-bakat yang mempunyai potensi.

Bergantung kepada jadual, turut dalam perancangan ialah beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab profesional dari liga luar negara seperti Jepun dan Korea, Singapura, Indonesia ataupun Filipina.

Peter berkata besar kemungkinan barisan lengkap pemain Tambadau akan diumumkan lebih kurang sebulan sebelum Liga Super bermula nanti.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *