Lahir Selepas 6 Tahun Dibeku

Noor’adn (kiri) bersama Mohd Yuhairil gembira selepas bayi lelaki mereka dilahirkan menerusi kaedah rawatan IVF. Foto Ghazali Kori

Semalam menjadi detik paling manis buat Noor’adn Muhammad dan suaminya, Mohd Yuhairi Haniff Yoon, apabila usaha dan penantian mereka selama 11 tahun untuk menimang cahaya mata terlerai dengan kelahiran seorang bayi yang ‘disimpan’ sejak enam tahun lalu.

Lebih istimewa, zuriat lelaki seberat 3.34 kilogram itu juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi bayi pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu itu dilahirkan menerusi teknik pemindahan embrio, selepas enam tahun ia dibekukan.

Bayi sulung Noor’adn, 38, yang bertugas sebagai guru dan Mohd Yuhairi Haniff, 37, yang bekerja sebagai kontraktor itu selamat dilahirkan secara pembedahan jam 8.38 pagi semalam di HSNZ.

Pengorbanan Noor’adn dalam usahanya untuk mendapatkan zuriat bersama suami bukan calang-calang, apabila dia nekad mengambil cuti tanpa gaji sebaik disahkan hamil Februari lalu, demi menjaga keselamatan kandungan.

Tidak cukup itu, guru di Sekolah Rendah Kampung Baru Serada, Marang itu juga tidak dapat bertemu ibu dan keluarganya di Kelantan, termasuk pada Aidilfitri dan Ramadan lalu kerana enggan mengambil risiko perjalanan jauh, demi memastikan keselamatan kandungan.

Noor’adn berkata, beliau mula menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) di HSNZ sejak 2012, selepas dirujuk dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

“Saya sudah beberapa kali menjalani rawatan IVF, namun kandungan keguguran termasuk sepasang kembar pada Julai 2013 ketika usia kandungan 20 minggu.

“Saya mengambil masa lima tahun untuk bertenang kerana trauma keguguran bayi, sebelum memutuskan mahu kembali hamil menerusi teknik pemindahan embrio. Disember lalu saya mula bertemu doktor dan bersetuju untuk mencuba lagi, namun percubaan itu tidak berjaya.

“Pada 27 Januari lalu saya kembali menjalani prosedur pemindahan embrio kelima yang dibekukan dan Alhamdulillah, Allah mengabulkan doa saya dan suami dan disahkan hamil dua minggu kemudian,” katanya ketika ditemui di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi HSNZ, hari ini.

Noor’adn (dua dari kiri), Mohd Yuhairil (kiri) bersama Dr Nasuha (tiga dari kanan) melihat bayi lelaki seberat 3.34 kilogram dilahirkan HSNZ. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Reproduktif HSNZ, Dr Nasuha Yaacob berkata, kelahiran bayi itu adalah rekod kejayaan buat HSNZ.

Beliau berkata, ini kerana lazimnya prosedur pemindahan embrio beku dikenali sebagai ‘Frozen-Thaw Embryo’ itu dilakukan dalam tempoh antara satu hingga lima tahun selepas embrio dibekukan, dengan tempoh maksima pembekuan selama lima tahun.

“Ada beberapa kes yang mana kita memanggil ibu untuk menjalani pemindahan embrio selepas tempoh itu, namun tiada yang berjaya hamil dan ini adalah kejayaan pertama HSNZ melahirkan bayi daripada embrio yang dibekukan selama enam tahun.

“Kita cairkan tiga embrio dan memindahkan dua daripadanya pada Disember lalu, namun si ibu tidak berjaya hamil. Kemudian kita bekukan kembali dan memindahkan semula embrio itu kepada ibu pada bulan berikutnya.

“Embrio ini jelas berada dalam kualiti yang bagus. Walaupun mengalami kaedah pembekuan berkali-kali, ia masih menunjukkan kualiti yang sangat bagus dan tidak terjejas,” katanya.

Dr Nasuha berkata, bayi lelaki itu adalah bayi ke-20 yang dilahirkan menerusi IVF pada tahun ini dan yang ke 118 sejak 10 tahun Unit Perawatan Reproduktif HSNZ ditubuhkan.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *