Indeks Jenayah Di Sabah Turun 4.11 Peratus

KOTA KINABALU: Polis Sabah hampir mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak lima peratus penurunan jenayah di seluruh negeri yang ditetapkan tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, bermula Januari sehingga semalam, indeks jenayah Sabah mencatatkan sebanyak 4,432 kes berbanding sebanyak 4,622 kes yang dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, indeks jenayah kekerasan berlaku sedikit peningkatan, namun jenayah membabitkan harta benda mengalami pengurangan yang amat ketara dan baik.

Untuk jenayah kekerasan tahun 2019, dilaporkan sebanyak 486 kes dan pada tahun 2018 sebanyak 444 kes menunjukkan peningkatan sebanyak 42 kes bersamaan 9.46 peratus.

“Jenayah harta benda tahun pada 2019 dilaporkan 3,946 kes manakala pada tahun 2018 4,178 kes yang menunjukkan penurunan sebanyak 232 kes bersamaan dengan 5.55 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Sabah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pagi ini.

Omar berkata, berdasarkan pencapaian tersebut, beliau yakin secara keseluruhan PDRM Sabah mampu mencapai KPI yang ditetapkan dalam usaha menurunkan kadar jenayah di seluruh negeri.

Mengulas tentang aktiviti perjudian katanya, sebanyak 376 serbuan telah dilakukan yang membawa kepada kejayaan menahan 437 suspek serta rampasan wang tunai sebanyak RM133,883.

“Setakat ini, serbuan yang kita telah lakukan berjaya dengan tangkapan dan rampasan sebanyak 379 di seluruh sabah. Tangkapan sebanyak 437 orang iaitu 277 lelaki dan 160 perempuan.

“Pihak polis juga merampas 439 telefon bimbit yang digunakan untuk judi dalam talian serta enam mesin slot,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *