Polis Tahan Enam Lelaki Cuba Seludup Migran

Suspek bersama migran di bawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut. Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

BEAUFORT: Polis menahan enam individu termasuk dua warga asing kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan tujuh migran termasuk dua kanak-kanak dari negara jiran dalam kejadian di Jalan Luagan Sanginan, di sini semalam.

Semua individu terbabit ditahan polis dari Balai Polis Beaufort jam 1.45 petang susulan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan migran di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, enam suspek yang ditahan dikesan cuba menyeludup tujuh warga Indonesia dipercayai untuk bekerja di sebuah ladang di Keningau.

Katanya ketika ditahan, semua individu berkenaan menaiki sebuah kereta Proton Exora dan sebuah pacuan empat roda Isuzu D Max dipercayai dalam perjalanan ke Keningau.

“Proton Exora berkenaan dinaiki oleh dua suspek bersama tujuh migran yang terdiri daripada tiga lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hingga 50 tahun dipercayai diseludup masuk untuk bekerja di negara ini.

“Manakala kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk membawa barang-barang termasuk pakaian milik tujuh migran terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata dua warga asing yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penunjuk jalan kepada pemandu kenderaan untuk ke lokasi bagi mengambil kumpulan migran terbabit.

“Semua tangkapan bersama dua kenderaan yang dirampas dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(J) Akta Anti-Pemerdagangan Orang & Anti Penyeludupan Migran 2007. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *