Gaduh Di Parkir Pusat Beli-Belah Jalan Coastal, 8 Lelaki Ditahan

Palang keluar parkir pusat beli belah turut menjadi mangsa dalam pergaduhan tersebut. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Polis menahan lapan lelaki yang disyaki terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Coastal, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang lelaki berusia 24 tahun cedera manakala kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya turut rosak selepas dipukul menggunakan benda keras.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pergaduhan itu tercetus apabila mangsa bersama tiga rakannya pergi ke pantai Tanjung Aru 2, untuk lepak sebelum didatangi seorang lelaki dan meminta rokok daripada mangsa dan rakannya.

ACP Habibi Majinji. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Mangsa bersama rakannya kemudian mengatakan tiada rokok menyebabkan lelaki itu memaki dan berlaku pertengkaran sebelum mangsa dan lelaki terbabit bergaduh.

“Mangsa bersama tiga rakannya kemudian lari meninggalkan lokasi kejadian dengan kenderaan mereka masing-masing namun dikejar oleh suspek bersama lima lagi rakan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya mangsa kemudian memandu kereta Proton Iswara menuju ke pusat beli belah di Jalan Coastal, di sini dan berjaya dipintas oleh suspek bersama rakannya lalu bertindak memukul mangsa dan kereta dipandunya.

Kereta mangsa rosak teruk selepas dipukul suspek bersama empat yang lain. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Akibat kejadian itu mangsa luka dan bengkak di muka dan cedera dibadan serta kaki kiri manakala kumpulan itu turut merosakkan palang keluar di pusat beli belah berkenaan. Susulan kejadian itu ahli keluarga mangsa membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis daripada daripada Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan lapan lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

“Semua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun berjaya diberkas dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini dari jam 7 malam hingga 9 malam semalam.

“Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *