Tawau Bakal Jadi Bandar Pintar – Presiden MPT

Amrullah dan timbalannya, Koh Kian Leong.

Tawau: Tawau bakal mengikut jejak langkah Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia menjadi bandar pintar yang moden seumpamanya di negeri ini.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah @ Ambrullah Kamal berkata, ia antara tempias pembangunan yang akan dirasai penduduk tempatan ekoran keputusan Indonesia memindahkan ibu negara baharu mereka ke Kalimantan.

“Dalam lawatan ke Samarinda, semalam, saya berpeluang melihat ‘blue print’ pembangunan Samarinda sebagai sebuah bandar pintar.

“Justeru, saya merasakan Tawau juga berpeluang mengadakan kerjasama dengan pemerintah di bandar itu sekali gus menjadi bandar pintar pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Perhimpunan Pagi MPT, di sini, hari ini.

Turut hadir hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Presiden MPT Koh Kian Leong dan Setiausaha MPT Joseph Pang Pick Lim.

Tambah Amrullah, kedudukan Tawau sebagai daerah paling hampir dengan ibu negara baharu Indonesia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk menerusi perkongsian ekonomi, sosial dan politik.

“Kita mempunyai lebih 200 ekar tanah berhampiran sempadan negara, sudah tentu ia bakal memberi satu dimensi kepesatan pembangunan Tawau yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.

“Malah kita bersedia berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan jalan raya, sumbangan bahan mentah seperti batu kepada Indonesia sekali gus menyumbang kepada pembentukan ibu negara baharu mereka.

“Dalam masa sama ia turut membeli pulangan ekonomi kepada penduduk Tawau,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *