Penyambungan Haram: Pemilik Ladang Sawit Dikompaun RM25,000

Dua penguatkuasa JAT berjaya mengesan kecurangan penyambungan haram bekalan air di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak di Batu 22 Balung Tawau.

TAWAU: Pemilik sebuah ladang kelapa sawit dikompaun RM25,000 akibat melakukan penyambungan haram bekalan air tanpa meter di Batu 22 Jalan Balung, di sini, semalam.

Jurutera Air Bahagian Tawau Asabri Robensen berkata, kegiatan itu dikesan hasil siasatan sepasukan penguatkuasa Jabatan Air Tawau (JAT) melalui Operasi Cegah.

“Kita menemui satu penyambungan haram menggunakan paip ‘poly’ 50mm dari paip utama 500mm  yang disambungkan terus ke ladang itu,” katanya, di sini semalam.

Asabri berkata, operasi yang bermula jam 10:30 pagi itu berakhir kira-kira jam 2 petang dan turut dikesan dua tangki simpanan air yang dianggarkan berkapasiti 50 liter.

Menurutnya, tindakan pemotongan terhadap sambungan haram itu telah dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 49 (b)  Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah (EBANS) 2003.

“Kita mengingatkan semua pengguna mematuhi undang-undang seperti yang termaktub dalam EBANS 2003 atau berhadapan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau turut menasihati individu atau syarikat yang dikenakan tindakan kompaun sebelum ini supaya segera menjelaskan bayaran, jika tidak mahu berhadapan tindakan mahkamah.

Orang ramai turut diminta segera melaporkan sekiranya melihat sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air ke nombor talian aduan Jabatan Air Sabah di 088 – 326888.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *