Kerajaan Mungkin Perkenal Cukai Baharu – PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan memperkenalkan beberapa cukai baharu sebagai langkah untuk memantapkan sistem pematuhan percukaian dan meningkatkan hasil negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi jaminan bahawa pengenalan cukai baharu itu tidak akan terlalu membebankan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkemaskan agensi percukaian negara supaya ia menjadi lebih baik berbanding dahulu.

“Sistem percukaian di negara ini sejak dulu lagi tidak dilaksanakan dengan cara yang tertib dan tersusun yang menyebabkan banyak orang terlepas daripada membayar cukai.

“Selain memperkemas agensi percukaian, kerajaan juga mungkin terpaksa memperkenalkan cukai baharu yang tidak membebankan rakyat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahatir berkata demikian sebagai mengulas inisiatif baru untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai, meningkatkan kecekapan cukai dan memperluas asas cukai yang terkandung dalam WKB2030.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai sikap Bumiputera itu sendiri yang menyebabkan sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum tercapai.

Beliau berharap Bumiputera dapat memainkan peranan dengan menyambut segala peluang yang disediakan oleh kerajaan khususnya melalui pelaksanaan WKB2030.

“Sebelum ini, kerajaan menyediakan pekerjaan, mereka ini tidak berminat dan ditawarkan masuk ke universiti juga dengan sikap sama serta tidak mahu untuk bekerja dalam sektor yang berat.

“Saya dapati orang kita tidak suka kerja berat, dan ini bukan perkara baru malah sama seperti 70 tahun lalu di mana banyak orang asing datang ke negara ini bekerja dengan kuat dan akhirnya menjadi cukup maju,” katanya.

Tambahnya, untuk menjadi lebih berjaya dan berdaya maju, kumpulan Bumiputera perlu berusaha dengan lebih kuat meskipun diberikan bantuan mahupun peluang dari pihak kerajaan.

“Sebagai contoh, kita bagi biasiswa pada mereka masuk universiti tetapi tidak belajar sebaliknya sibuk berpolitik dan akhirnya matlamat asal tidak tercapai,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, ekuiti korporat Bumiputera jatuh kepada 16.2 peratus, manakala bukan Bumiputera turun kepada 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *