Hampir 8,000 Hadirin Memeriahkan Upacara Perbarisan Sambutan Hari Jadi TYT Sabah

KOTA KINABALU, 5 Okt: Hampir 8,000 hadirin termasuk peserta hadir memeriahkan upacara perbarisan sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Acara perbarisan bermula pada 7.30 pagi itu melibatkan 2,844 peserta daripada 79 kontinjen terdiri daripada pasukan keselamatan termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar.

Yang Dipertua Negeri kemudian menerima Tabik Hormat Diraja oleh Pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Ketujuh, Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Kabota, Tawau diketuai Leftenan Kolonel Nik Hamdy Ismail.

Acara itu kemudian disusuli Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang diiringi tembakan meriam sebanyak 17 das.

Juhar kemudian memeriksa perbarisan pasukan kontinjen yang mengambil bahagian diiringi Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah dari Kem Lok Kawi.

Keberangkatan Juhar turut diiringi isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan disertai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta menteri Kabinet kerajaan negeri dan Persekutuan.

Selesai acara perbarisan, majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran akan menyusul di Istana Negeri bermula jam 10 pagi ini serta Majlis Makan Malam Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN), malam ini.

Sempena sambutan hari jadi rasmi Juhar pada tahun ini, beberapa acara lain turut diadakan antaranya majlis jamuan teh bersama kanak-kanak istimewa dan yatim diadakan di Nexus Spa & Resort Karambunai pada 10 Okt ini.

Selain itu turut diadakan ialah majlis perasmian pameran khas ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’ pada 15 Okt ini di Kompleks Muzium Sabah dan Kejohanan Golf Amal Yang di-Pertua Negeri pada 26 Okt ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *