Polis Tahan Warga Kanada Dipercayai Cabul Warga Australia Dalam Bas Ekspres

BELURAN, 4 Okt: Polis menahan seorang lelaki warga Kanada berumur 69 tahun, dipercayai mencabul kehormatan seorang wanita warga Australia, dalam sebuah bas ekspres di Telupid dekat sini pada Rabu (2 Okt) lepas.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda berkata kejadian dikatakan berlaku kira-kira 1.47 pagi, ketika mangsa berumur 21 tahun duduk bersebelahan suspek dalam bas itu, semasa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

Katanya mangsa menyedari perbuatan suspek, apabila suspek dikatakan memasukkan tangan ke dalam pakaian mangsa.

“Mangsa menyedari suspek telah meraba bahagian paha mangsa dan telah menyentuh pakaian dalam mangsa.

“Mangsa kemudiannya bertindak dengan memarahi suspek atas perbuatan yang telah dilakukan dan telah berlaku kekecohan, sebelum pemandu bas menukarkan tempat duduk suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek diserahkan kepada polis dan telah dituduh di mahkamah majistret di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, namun membuat pengakuan tidak bersalah.

Kes akan dibicarakan pada 5 Nov depan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *