Lebih 500kg Ikan, Udang Terdampar Di Sungai Segaliud

John menunjukkan ikan dan udang yang mati akibat pencemaran di sungai Segaliud di Kampung Segaliud, Sandakan. Foto Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Lebih 500 kilogram (kg) ikan dan udang terdampar di tebing sungai dipercayai akibat pencemaran dikenal pasti berlaku di Sungai Segaliud, Sandakan, selepas dikesan pada 26 September lalu.

Tinjauan mendapati, air sungai berbau hanyir dan bertukar warna hitam akibat pencemaran sisa kilang di kawasan berkenaan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), John Until berkata, pencemaran itu menyebabkan ribuan ikan dan udang ditemui mati serta terdampar di tebing sungai.

“Penduduk kampung sebelum ini mengutip lebih 500kg ikan dan udang terdampar di tebing sungai berkenaan.

“Perkara ini memberi kesan kepada nelayan di kawasan ini yang kini kehilangan punca pendapatan akibat pencemaran sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sehubungan itu, John merayu supaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah segera mengeluarkan laporan siasatan lengkap pencemaran itu.

“Kami mahu tahu untuk menuntut kerugian kepada siapa dan apa tindakan terbaik seterusnya dalam membantu nelayan yang kini hilang pendapatan,” katanya.

Sementara itu, nelayan dan penternak ikan sangkar di Sungai Segaliud, Ongong Unangga, 59, berkata dia terpaksa membuat sangkar ikan dalam rumah ekoran pencemaran itu.

“Sebelum ini, ikan saya di dalam sangkar di sungai. Tetapi, terpaksa dipindahkan bagi mengelak mengalami lebih banyak kerugian.

“Mujur ada penduduk pinjamkan saya kain kanvas dan alat oksigen ikan. Jika tidak, pasti semua ikan ubi saya turut mati akibat pencemaran,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *