Kerajaan Komited Bantu Kanak-Kanak Tanpa Dokumen Dapat Akses Pendidikan

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan melihat usaha membenarkan kanak-kanak warga Malaysia yang tidak berdokumen mendaftar masuk ke sekolah sebagai langkah awal membantu kanak-kanak ini mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kementerian bukan hanya ingin membantu kanak-kanak ini bersekolah sebaliknya, ingin membantu mereka memperolehi dokumen kerana mereka ini memang anak warganegara Malaysia.

Beliau berkata, langkah membenarkan kanak-kanak ini mendaftar masuk ke sekolah merupakan polisi pendidikan yang ditetapkan kerajaan sejak awal tahun ini.

“Dengan langkah itu, seramai 2,635 orang kanak-kanak tidak berdokumen yang sudah mendaftar masuk ke sekolah. Daripada jumlah itu, seramai 1,184 orang adalah di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Townhall Menteri Pendidikan Bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Dewan Canselor, di sini pada Khamis.

Menurutnya, apabila seseorang itu tidak mempunyai dokumen dan mereka warga Malaysia, secara teknikalnya mereka memang ‘stateless’.

“Apa yang kita cuba buat adalah membantu mereka ini mendapatkan dokumen. Kesemua kanak-kanak ini perlu didokumentasikan kerana mungkin salah seorang ibu bapa mereka warga Malaysia. Tetapi malangnya, mereka ini tidak mempunyai dokumen atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh ibu bapa mereka,” jelasnya.

Maszlee berkata, walaupun kanak-kanak ini warga Malaysia namun, mereka tidak diberikan dokumen dengan sebetulnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan keazaman kementerian dalam membantu UMS lebih dikenali di peringkat Asean dan antarabangsa.

Beliau berkata, kementerian akan membantu UMS meningkatkan kolaborasi di peringkat antarabangsa dengan membawa UMS lebih jauh ke hadapan.

“Kita akan cuba membawa lebih banyak industri untuk menjalin kerjasama dengan UMS yang berpotensi menjadi universiti yang terkenal dan berdaya saing di rantau ini.

“Kita komited membawa pelajar dari negara Asean untuk belajar di UMS.

“Kita akan menjadikan UMS dikenali dan mempunyai hubungan industri yang lebih tinggi.

“Apa yang penting, kita memperbaiki apa yang ada. Kita yakin dengan usahasama pentadbiran UMS terutama dibawah pimpinan Naib Canselor baharu,” jelasnya.

Terdahulu, ditanya mengenai pendidikan percuma yang pernah dijanjikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Maszlee meminta diberikan sedikit masa bagi menyelesaikan isu sekolah-sekolah daif di negara ini terlebih dahulu sebelum berbicara tentang pendidikan percuma.

Beliau juga meminta Kerajaan Sabah membenarkan pelajar UMS menjalani latihan industri dengan kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Kemudian ditanya mengenai Memorandum yang mengumpul hampir 7,000 tandatangan bagi meminta Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Asma Ismail dikekalkan, Maszlee berkata, keputusan telah pun dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Lembaga USM secara rasmi.

Bagaimanapun, disebalik memorandum meminta Prof Asma dikekalkan, beliau yang tamat perkhidmatan pada 3 Oktober telah digantikan dengan Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *