GST Perlu Sokongan Rakyat Sebelum Dihidupkan Semula – Dr Xavier

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar melancarkan operasi Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat di Kajang, hari ini. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KAJANG: Kerajaan perlu laksanakan kajian terperinci sebelum mengambil keputusan muktamad untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada masa depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata beliau menyokong kesediaan untuk mengkaji semula pelaksanaan GST, sekiranya itu kehendak rakyat seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingat itu (memperkenalkan semula GST) perlu kajian mendalam dulu kerana tanpanya kerajaan tidak boleh buat apa-apa ketentuan (keputusan muktamad).

“Berilah kita (kerajaan) masa untuk membuat kajian menyeluruh selepas Belanjawan 2020 dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu depan. Apa-apa keputusan muktamad kita kena tengok dulu hasil kajian menyeluruh.

“Kalau rakyat menolak cadangan berkenaan maka kerajaan tidak boleh laksanakan semula (GST). Saya tiada masalah jika ia (pengenalan semula GST) mendapat sokongan rakyat dan mampu menurunkan harga barang dan kos sara hidup,” katanya ditemui pemberita selepas melancarkan operasi Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat di sini, hari ini.

Dr Xavier mengulas kenyataan Dr Mahathir, yang mengesahkan bahawa kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST, sekiranya itu kehendak rakyat.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Selasa lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Beliau berkata, kadar yang bersesuaian jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu ialah tiga peratus.

Katanya, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama-sama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *