Sabah Cari Ruang Kerjasama Dengan Kalimantan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melihat langkah sesuai bagi mewujudkan kerjasama berkaitan aktiviti hiliran industri minyak dan gas dengan wilayah Kalimantan, Indonesia, khususnya dalam penghasilan baja bagi memenuhi keperluan sektor pertanian dan perladangan di wilayah itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerjasama itu boleh direalisasikan menerusi pembabitan syarikat minyak negara masing-masing iaitu PETRONAS dan PERTAMINA.

ADVERTISINGBeliau berkata, kilang baja urea sedia ada di Sabah yang dibangunkan PETRONAS menerusi Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang boleh dimanfaatkan bagi tujuan itu.

“Dalam konteks ini, Sabah mempunyai kemampuan menghasilkan baja manakala Kalimantan mempunyai segala sumber yang diperlukan untuk dijadikan bahan membuat baja.

“Untuk itu, Sabah akan melihat langkah yang ada untuk membolehkan kerjasama ini dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat Refinery Unit V, PERTAMINA, sempena lawatan kerja ke Balikpapan, Kalimantan Timur, semalam.

Katanya, industri penghasilan baja berasaskan sumber minyak dan gas penting bagi memenuhi keperluan sektor pertanian yang perlu terus dibangunkan sejajar kepentingan jaminan keselamatan makanan di rantau ini.

Dengan kedudukan Indonesia yang mempunyai tanah luas untuk pertanian, Mohd Shafie menegaskan, baja menjadi keperluan penting.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama serantau dalam bidang berkaitan perlu ditingkatkan untuk pertumbuhan ekonomi ke arah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafie akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, bagi melihat apa yang perlu dilakukan demi kebaikan negara dan Sabah.

Hari ini, Mohd Shafie bersama delegasi kerajaan negeri meneruskan lawatan di Tarakan, Kalimantan Utara dalam rangka lawatan tiga hari ke Kalimantan, bermula kelmarin.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *