Kampung Ditenggelami Banjir Kilat Paras Pinggang

MANGSA banjir kilat, Mohd Rasid Jaludin menunjukkan air yang bertakung menyebabkan kerja-kerja mengubahsuai dan membina rumahnya tergendala berikutan masalah banjir kilat yang kerap berlaku dan berlarutan sehingga kini. – Foto BERNAMA

LABUAN: Hujan lebat selama enam jam bermula jam 9 malam tadi, menyebabkan banjir hingga paras pinggang melanda Kampung Rancha-Rancha Darat, di sini.

Sekurang-kurang lima rumah penduduk terjejas akibat banjir kilat itu yang turut merosakkan harta benda seperti kenderaan dan perabot.

Penjawat awam, Mohd Rezuan Abd Hassan, 39, berkata kejadian itu disedari isterinya ketika bangun kira-kira jam 12 tengah malam untuk membancuh susu bayi mereka yang berumur setahun.

“Ketika itu, air sudah naik setinggi 0.6 meter. Saya segera menyelamatkan isteri bersama tiga anak ke rumah saudara-mara berhampiran yang tidak terjejas, kerana bimbang paras air semakin meningkat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Rasid Jaludin, 55, berkata beliau dan isterinya sedang tidur apabila dikejutkan bunyi bising di luar rumah.

Beliau berkata, apabila menjenguk ke luar rumah, air didapati sudah naik hingga paras pinggang dan sekeliling rumah menjadi seperti kolam ikan.

Katanya, beliau bersama isteri kemudian segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Mohd Rasid yang bekerja sendiri berharap pihak berwajib dapat segera menyelesaikan masalah longkang tersumbat di sebuah projek terbengkalai berhampiran kerana mendakwa air akan melimpah masuk ke perkampungan itu setiap kali hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Kampung Rancha-Rancha, Awang Damit Bakar, berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan seperti Perbadanan Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Jabatan Pengairan dan Saliran bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *