Gading Gajah Pygmy Mati Ditembak Ditemukan Ditanam Di Kebun Felda Umas

Peter (dua dari kanan) dan Ketua Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris menunjukkan lokasi suspek menanam gading gajah pygmy. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dua gading gajah pygmy Borneo yang mati ditembak di Sungai Uding, Dumpas, Kalabakan, Isnin lalu akhirnya ditemukan ditanam di kawasan kebun koperasi Felda Umas, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata penemuan gading berkenaan adalah susulan tangkapan salah seorang suspek yang bersubahat menyembunyikan gading gajah terbabit.

Peter (dua dari kanan) dan Ketua Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris menunjukkan lokasi suspek menanam gading gajah pygmy. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Jarak antara lokasi pembunuhan gajah dan kawasan suspek menyembunyikan gading berkenaan adalah kira-kira 10 kilometer.

“Daripada siasatan yang dilakukan, suspek kemudian membawa pihak polis ke lokasi dimana dia menyembunyikan gading berkenaan selepas dipotong oleh salah seorang lagi suspek yang turut bersubahat.

“Hasil pemeriksaan, suspek menanam gading berkenaan sedalam kira-kira satu kaki (0.30 meter) dan ditutup menggunakan daun-daun yang ada di kebun bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa,” katanya ketika ditemui media selepas melawat lokasi di mana gading iti disembunyikan hari ini.

Salah seorang suspek menunjukkan kepada pihak polis lokasi dia menyembunyikan gading gajah pygmy. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan akan ada lagi tangkapan susulan berhubung kes ini.

“Kita akan siasat dengan lebih lanjut jika ada transporter atau pembeli gading-gading sebelum ini.

“Saya juga ingin memberi amaran tegas kepada semua pemilik yang berlesen supaya jangan gunakan senjata api untuk kegunaan yang menyalahi undang-undang.

“Patuh kepada syarat dalam lesen anda dan jangan serahkan senjata kepada orang lain yang tidak berlesen atau jual peluru kepada orang lain,” jelasnya.

Terdahulu dalam kejadian itu, enam lelaki termasuk seorang warga asing ditahan hari ini, disyaki terbabit dalam kes tembak gajah pygmy Borneo di Sungai Uding, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, Isnin lalu.

Suspek berusia antara 48 hingga 68 tahun itu ditahan sepasukan polis di beberapa lokasi berasingan kawasan Felda Umas sekitar pukul 12 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Siasatan mendapati dua daripada suspek disyaki menembak gajah terbabit manakala empat lagi suspek bersubahat menyembunyikan senjata api, memotong gading dan menyembunyikannya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *