Jual Syabu Bantu Ringankan Beban Keluarga, Pelajar Tingkatan 5 Ditahan

Dadah seberat 5.25 gram dianggarkan bernilai RM787 dan sembilan gulung kertas timah dirampas. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang pelajar lelaki tingkatan lima nekad menjalankan kerja mengedar dadah sebagai jalan mudah mendapatkan wang bagi meringankan beban harian keluarganya.

Bagaimanapun pelajar terbabit ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di kawasan Taman Panji, dekat sini, semalam.

Suspek berusia 18 tahun ditahan disyaki pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan Lahad Datu. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit ditahan pukul 3.30 petang menerusi Operasi Pasir.

Katanya ketika pihak polis cuba menjalankan pemeriksaan ke atas tubuhnya, suspek dengan sendirinya menyerahkan kepada polis satu peket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.25 gram bersama sembilan gulung kertas timah.

Suspek berusia 18 tahun ditahan disyaki pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan Lahad Datu. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Hasil siasatan lanjut, suspek dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan berkenaan.

“Suspek turut terpengaruh dengan rakan penagih dan mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang bagi meringankan beban kehidupan harian keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai “abang” dan pihak polis sedang menjalankan operasi mengesan suspek.

“Suspek yang masih bersekolah dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Dadah bernilai RM787 itu dirampas manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut dibawah 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *