Ah Ming Cincau Tidak Tidur Lena Wajah Dipapar Dalam Mural Gergasi

Foto Media Sosial

LABUAN, 1 Okt: Uncle Ah Ming tidak dapat tidur lena malam itu apabila diberitahu seorang pelukis jalanan akan mengabadikan wajahnya di dinding sebuah bangunan sebagai karya mural gergasi di pusat bandar ini.

Peniaga minuman cincau berusia 62 tahun itu berkata anak-anaknya yang tinggal di Johor dan Kuala Lumpur juga terkejut lalu menelefon bapa kepada lima anak itu seakan tidak percaya bahawa potret bapa mereka akan terpampang di tengah-tengah bandar bagi menghargai beliau yang lebih empat dekad berniaga minuman berhampiran Jalan Tun Mustapha (sebelah Hotel Aifa) di sini.

“Pada mulanya saya fikir ia hanya satu potret kecil, tetapi apabila diberitahu ia merupakan lukisan mural gergasi yang dilukis pada keseluruhan dinding bangunan, lidah saya kelu, terkejut dan tidak dapat tidur malam itu kerana tidak sangka,” katanya mengimbas kembali saat itu, kepada Bernama.

Pemilik nama sebenar Teo Soon Bin @ Teo Soon Ming atau lebih popular dengan panggilan Uncle Ah Ming dalam kalangan penduduk Labuan berkata perniagaan minuman itu merupakan titik peluh bapanya yang dijalankan selama lebih 10 tahun sebelum beliau mengambil alih dan sehingga kini perniagaan itu telah beroperasi selama 52 tahun.

“Pada masa itu saya masih bujang dan bekerja di kedai kopi dengan gaji lebih RM100, apabila ayah tidak sihat dia tidak mahu menutup perniagaan dan meminta saya meneruskannya, tidak lama selepas itu ayah meninggal dunia dan saya mula mengambil alih perniagaan minuman cincau ini,” katanya kepada Bernama.

Foto Media Sosial

Uncle Ah Ming berkata ramuan asal air cincau yang dibuat bapanya adalah cincau yang dicampur dengan kacang dan cendol serta ais hancur.

“Saya yang menambah jagung dan bahan-bahan lain yang digunakan untuk membuat ABC (air batu campur) ke dalam air cincau ini, malah perniagaan saya juga agak menggalakkan sejak awal tahun ini apabila ia tular dalam Facebook,” katanya yang akan meneruskan perniagaan ayahnya itu selagi beliau sihat selain dibantu isterinya di kedai minuman itu.

Foto Media Sosial
Foto Media Sosial

Potret Uncle Ah Ming dipilih oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Balai Seni Negara sebagai antara 13 mural dan lukisan tiga dimensi (3D) yang menyerikan dinding luaran bangunan berusia lebih satu dekad bagi menghidupkan dan memberi nafas baharu kepada bangunan lama berkenaan.

Selain itu, mural pemain bola sepak Malaysia kelahiran Labuan, Datuk Hassan Sani dan ikan merlin biru yang menjadi identiti Labuan, sebuah pulau yang popular dengan penangkapan ikan laut dalam turut menghiasi dinding bangunan bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Semua mural itu dipaparkan di sepanjang jalan dari Lorong Tanjung Pasir, Jalan Utama Bandar Labuan sehingga Terminal Labuan.

Pada Ahad lepas, ketika majlis penutupan projek Mural dan Arca Awam dengan Komuniti 2019 di sini, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang menyaksikan penyudahan lukisan mural itu berkata kementerian membelanjakan kira-kira RM80,000 untuk projek itu.

Beliau berkata projek itu diharapkan dalam mencantikkan pulau ini selain membantu mempopularkan Labuan menerusi platform media sosial yang mana orang ramai yang bergambar dapat berkongsi dan memaparkan mural itu dalam Facebook, Twitter dan Instagram masing-masing.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *