Lelaki Kahwin Dua Gadis Serentak Diminta Datang Ke Pejabat JHEAINS

Gambar mengenai kisah seorang lelaki mengahwini dua gadis serentak di Semporna yang tular di laman sosial Facebook. – Foto Ihsan Media Sosial

SEMPORNA: Lelaki yang mengahwini dua gadis serentak di Kampung Pukas, di sini, Jumaat lalu diminta tampil ke pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), di sini, bagi melengkapkan prosedur perkahwinan mereka.

Pegawai JHEAINS Daerah Semporna, Jamaluddin Dasi, berkata pihaknya sedia membantu pasangan poligami berkenaan termasuk menyelesaikan isu ‘kahwin kampung’, jika pengantin terbabit menggunakan jurunikah tidak bertauliah ketika proses pernikahan.

Beliau berkata, perkahwinan itu hanya dianggap sah mengikut undang-undang syariah negeri dan didaftarkan jika ia menggunakan jurunikah bertauliah yang dilantik pihak JHEAINS, selain mematuhi prosedur ditetapkan termasuk berkaitan permohonan berpoligami.

“Kami mendapat maklumat berkaitan perkahwinan itu menerusi berita yang tersebar melalui media sosial semalam dan sejurus selepas itu kami membuat keputusan untuk menjalankan siasatan kerana sebelum ini tiada kes perkahwinan seperti ini dibawa ke pihak JHEAINS.

“Kami sudah ke kampung pasangan pengantin terbabit seperti yang dikatakan dalam berita itu untuk menjalankan siasatan dan membantu pasangan berkenaan, malangnya penduduk kampung yang ditemui tidak mengetahui perkara itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, akhbar ini memaparkan kisah lelaki yang mengahwini dua gadis serentak selepas perkahwinan itu yang disifatkan jarang berlaku tersebar dalam media sosial dan mendapat perhatian ribuan netizen.

Majlis perkahwinan itu berlangsung pada Jumaat 27 September lalu di Kampung Pukas, Semporna dan difahamkan dibuat secara ‘kahwin kampung’.

Difahamkan, pengantin lelaki berkenaan sudah bertunang dengan seorang daripada gadis terbabit di Kota Kinabalu sebelum mengenali dan bercinta dengan seorang lagi gadis ketika berpindah kerja di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, di sini.

Gadis berkenaan kemudiannya mengajak lelaki itu untuk berkahwin tetapi pada masa sama, tunangnya di Kota Kinabalu turut menggesanya berkahwin dengannya dan kesudahannya, kedua-dua gadis itu berkahwin serentak dengan lelaki terbabit.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *