“Rezeki Kau Lah Bro”.. Lelaki Kahwin 2 Gadis Serentak Di Semporna

Gambar bersama kenyataan ringkas mengenai kisah seorang lelaki mengahwini dua gadis serentak di Semporna yang tersebar di laman sosial Facebook. 

SEMPORNA: Kisah lelaki berkahwin lagi untuk menambah isteri sudah biasa didengar tetapi lain ceritanya di daerah ini apabila seorang lelaki mengahwini dua gadis serentak untuk hidup berpoligami.

Kisah lelaki itu tersebar apabila gambarnya bersanding bersama dua isteri dimuat naik dalam laman sosial Facebook sehingga mendapat perhatian ribuan netizen.

Gambar itu bersama kenyataan ringkas dimuat naik oleh seorang lelaki yang menggunakan nama Jimmy Jim, dipercayai sepupu kepada pengantin lelaki berkenaan.

Menerusi hantaran terbabit, dia memuat naik ucapan `Selamat pangantin baru..pecah rekod kluarga.. skali kawin trus 2 bini..tahniah sepupuku..apa bilang P Ramlee, JARANG JARANG.

Majlis perkahwinan itu berlangsung pada Jumaat 27 September lalu di Kampung Pukas, Semporna.

Difahamkan, pengantin lelaki berkenaan sudah bertunang dengan salah seorang gadis terbabit di Kota Kinabalu sebelum mengenali dan bercinta dengan seorang lagi gadis ketika berpindah kerja di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, di sini.

Gadis berkenaan kemudiannya mengajak lelaki itu untuk berkahwin tetapi pada masa sama, tunangnya di Kota Kinabalu turut menggesanya berkahwin dengannya dan kesudahannya, kedua-dua gadis itu berkahwin serentak dengan lelaki terbabit.

Setakat ini, hantaran mengenai perkahwinan mereka sudah dikongsi hampir 5,000 orang dengan lebih 2,000 komen.

Seorang netizen, Rabiatul Aliah, sempat memberi maklum balas mengagumi kehebatan lelaki terbabit.

“Hebatlah kalau mampu tanggung nafkah serentak.. Didikan agama sama rata.. Adil … Jarang orang kahwin macam ni sebab tahu kemampuan diri,” katanya.

Seorang lagi netizen, Farehah Roos pula menyifatkan ia adalah rezeki dan jodoh lelaki bersama dua gadis yang menjadi pasangan hidupnya.

“Rezeki dia, jodohkan rahsia Allah…Semoga bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.

Tidak kurang juga yang memberi maklum balas mencuit hati seperti komen seorang netizen yang menggunakan nama Rohayu Rami.

“Amboiiiii untung lah kau bang….2 sekali kau dapat….selepas selesai majlis jangan lupa sujud syukur,” katanya.

Ia dipercayai perkahwinan poligami pertama membabitkan seorang lelaki berkahwin serentak dengan dua gadis berlaku di daerah ini.

Usaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkahwinan itu bagaimanapun tidak berjaya selepas keluarga pasangan terbabit tidak mahu cerita berkenaan diperbesarkan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *