Polis Sabah Serbu Lebih 1,000 Perjudian Haram Di Negeri Ini

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Keseriusan polis menangani masalah perjudian haram di Sabah terbukti berikutan 1,057 serbuan membabitkan tangkapan sebanyak 1,402 orang sepanjang tempoh Januari hingga 22 September.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, keseluruhan serbuan itu melibatkan rampasan berjumlah RM404,200.

Beliau berkata, bagi perjudian siber haram, sebanyak 366 serbuan dilakukan dengan membabitkan 424 orang tangkapan. Ia turut melibatkan rampasan 420 telefon bimbit dan enam tablet yang bernilai RM134,045.

OMAR MAMMAH

Manakala, serbuan dalam bangunan pula adalah sebanyak 50 serbuan melibatkan 120 orang tangkapan dengan barang rampasan bernilai RM60,934.

Sementara serbuan perjudian luar bangunan pula, sebanyak 95 serbuan dilakukan dengan membabitkan tangkapan sebanyak 273 orang serta rampasan bernilai RM89,277.

“Bagi serbuan perjudian ekor haram pula, sebanyak 545 serbuan dilakukan membabitkan 575 tangkapan dengan rampasan RM119,944.

“Serbuan bookie pula kosong tetapi satu tangkapan di pusat panggilan berjaya dilakukan. Ia melibatkan tangkapan 10 orang,” katanya ketika ditanya mengenai kes perjudian haram di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sidang Media Pelupusan Barang Rampasan Kes Dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Omar berkata, usaha membanteras jenayah perjudian ini melibatkan semua daerah dan kesemua daerah telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau dan melakukan serbuan terhadap perjudian haram.

“Kita masih menjalankan tangkapan secara berterusan selepas tarikh itu. Ada antara kes berkenaan sudah didakwa di mahkamah dan ada lagi yang masih dalam proses melengkapkan siasatan.

“Beberapa tindakan diambil berdasarkan arahan Timbalan Pendakwa Raya(TPR) seperti mengenalpasti premis yang diguna dan disewa pengusaha. Selepas kertas siasatan lengkap, kes itu akan dirujuk ke pejabat TPR bagi arahan selanjutnya,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *