Polis Belum Terima Panggilan Minta Wang Tebusan – Omar

KOTA KINABALU: Polis Sabah belum menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan daripada Kumpulan Culik Untuk Wang Tebusan (KFR) yang dipercayai menculik tiga nelayan warga Indonesia yang sedang menangkap ikan di perairan Tambisan, Lahad Datu pada Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes penculikan membabitkan tiga nelayan Indonesia yang diculik di Tambisan, Lahad Datu.

Bot nelayan yang dijumpai di perairan Lahad Datu dimana tiga nelayan dipercayai diculik tiga lelaki bersenjata.

Tiga nelayan itu dipercayai diculik dari sebuah bot milik lelaki tempatan. Kesemua mangsa dipercayai diculik tiga lelaki bersenjata dan bertopeng yang menggunakan dua bot pam pada 11.50 pagi.

Pada Isnin, Omar memaklumkan mangsa yang berusia antara 27 hingga 48 tahun itu difahamkan berada di lokasi kejadian bersama dua lagi bot nelayan lain dengan jarak kira-kira 50meter antara satu sama lain.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba tujuh lelaki menaiki dua bot pam muncul. Sebuah bot dinaiki empat lelaki bersenjata menuju ke sebuah bot nelayan yang dinaiki empat kru kapal lalu bertindak mengambil telefon bimbit nelayan berkenaan. Namun, tidak melakukan apa-apa tindakan terhadap kru tersebut.

“Sebuah bot yang dinaiki tiga lelaki bersenjata menuju ke sebuah lagi bot nelayan yang dinaiki tiga mangsa. Mereka kemudian bertindak mengiringi bot nelayan itu keluar dari perairan negara.

“Saksi yang menyaksikan kejadian itu bergegas menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan anggota Pasukan Polis Marin tiba di lokasi. Namun, hanya bot yang ditemui manaka, tiga kru nelayan itu tidak berada dalam bot berkenaan,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *