Bangkai Gajah Pygmy Ditemui Mati Dalam Keadaan Terduduk

Bangkai gajah Pygmy Borneo yang ditemui dengan kesan tembakan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, di Tawau.

TAWAU: Bangkai gajah Pygmy Borneo yang ditemui sekumpulan pemancing di Sungai Udin, Dumpas, di Kalabakan, dekat sini, semalam dipercayai sudah mati antara tiga atau empat hari lalu.

Gajah betina dianggarkan berusia antara 11 hingga 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu ditemui kira-kira jam 11.30 malam dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai.

Pemeriksaan awal pasukan Jabatan Hidupan Liar mendapati luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah dipercayai akibat tembakan senjata api.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pemeriksaan sudah dilakukan di kawasan berkenaan oleh pasukan jabatan yang diketuai Pegawai Hidupan Liar Tawau, Sailun Aris dan mendapati kawasan lokasi bangkai berada dalam kawasan pekebun kecil rizab sungai.

Katanya, bot terpaksa digunakan ke lokasi bangkai gajah terbabit kerana tiada laluan darat.

“Berdasarkan pemeriksaan juga, bangkai masih dalam keadaan baik.

“Bedah siasat untuk mengetahui punca kematian gajah akan dilakukan esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Augustine berkata, pemeriksaan bagaimanapun tidak menemui tali yang terikat pada gajah seperti dalam gambar yang tular dalam Facebook sebelum ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *