Sumber Air Di Negeri Ini Perlu Diurus Dengan Baik – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Sumber air di Sabah perlu diurus tadbir dengan baik berikutan masalah ketandusan air sungai dan peningkatan populasi penduduk pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, biarpun masalah ketandusan air di sungai-sungai di Sabah tidak serius namun, ia semakin ke arah itu.

Atas sebab itu, Kerajaan Sabah mengambil pendekatan membina empangan kerana ia membolehkan sumber air disimpan bagi kegunaan penduduk Sabah terutama semasa musim kemarau.

Beliau berkata, pembinaan empangan bukan hanya boleh dijadikan kawasan takungan air tetapi, ia turut berupaya menjana bekalan elektrik.

Katanya, sumber alternatif seperti mini empangan tidak memberi bekalan air yang mencukupi dan tidak berupaya membekalkan tenaga elektrik.

”Maka, kita kena ada satu empangan yang boleh bertindak sebagai ‘game changer’ agar bekalan air sungai yang ada boleh bertahan untuk membekalkan air selama 50 tahun akan datang,” katanya ketika ditanya tentang isu kekeringan sungai di Sabah, di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai perkembangan pembinaan Empangan Papar, Mohd Shafie berkata, pembinaan empangan itu perlu diterusan sebagai persediaan untuk berdepan dengan ketandusan air sungai yang dijangka akan berlaku pada masa hadapan.

Katanya, populasi penduduk yang meningkat dan kemasukan pelancong yang bertambah memerlukan bekalan air yang lebih banyak.

Untuk itu, pengurusan air harus diurus tadbir dengan baik. Dalam berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu maka, keperluan memelihara sungai perlu dilakukan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie juga mahu semua pihak memainkan peranan dalam mengurangkan impak perubahan iklim dunia.

Beliau juga berharap persidangan sebegitu dapat mengumpulkan pelbagai idea dan pandangan yang boleh digunakan dalam melaksana dasar bagi memelihara alam sekitar di Sabah.

Usaha itu dapat membantu Sabah dalam menyusun atur dasar dan melaksana pengawalan bagi berdepan dengan perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *