Jabatan Air Sabah Terima Ancaman Siber, Ugut Hancur & Padam Data Sistem

Amarjit menunjukkan email yang diterima. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerima ancaman siber untuk menghancurkan laman sesawang jabatan berkenaan.

Pengarah JANS, Ir Amarjit Singh berkata ancaman berbentuk e-mel berkenaan dihantar pada Sabtu lalu (21 September) dari ‘Jabatan Air Mani’ yang menggelar diri mereka sebagai ‘Silence Hacker Group’.

Katanya e-mel itu dihantar pada Sabtu dan Pegawai Perkhidmatan Pelanggan JANS membuka e-mel berkenaan pada Isnin.

“E-mel berkenaan berbentuk ugutan terhadap jabatan yang mana isi kandungannya menyatakan amaran sekiranya gangguan bekalan air masih berterusan.

“Pihak Jabatan Air Bahagian Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan juga menerima e-mel ancaman yang sama pada hari tersebut.

“Terdapat juga individu yang tidak dikenali telah membuat akaun Facebook palsu menggunakan nama ‘Ahmad Tar’ dan kerap menghantar komen kesat di setiap notis gangguan bekalan air di laman Facebook Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar Ancaman Siber kepada JANS di pejabatnya, hari ini.

Tambahnya e-mel berkenaan juga bertajuk ‘Perang Siber Atas Kejahanaman Servis Jabatan Air’ seterusnya menyatakan “Pentadbir Jabatan Air Paling Jahanam dan Kurang Ajar.”

E-mel berkenaan juga menyatakan bahawa amaran diberikan adalah kali pertama dan terakhir.

“Sekiranya lepas ini kami rakyat Sabah masih menerima layanan yang begitu teruk dan jahanam sekali dan selalu memutuskan bekalan air terutamanya di kawasan seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

“Kami akan hancurkan website jabatan air dan padamkan semua data seluruh cawangan jabatan air.

“Jangan cabarkan kami atau anda akan menyesal atas tindakan anda sendiri nanti,” kata Amarjit ketika membacakan e-mel berkenaan kepada pemberita.

Dalam pada itu, pada Isnin pihak JANS membuat aduan kepada Bahagian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Amarjit berkata SKMM turut menyarankan pihaknya untuk membuat laporan polis.

“Oleh itu, kami di JANS membuat laporan polis pada Rabu (24 September) bagi mengenal pasti penghantar e-mel tersebut dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku,” jelasnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *