Penerbangan Terus Brunei-Sandakan 28 Oktober Depan

SANDAKAN, 24 Sept: Penerbangan terus antara Brunei dan Sandakan yang bermula pada 28 Oktober depan, menjadi penerbangan antarabangsa pertama bagi Lapangan Terbang Sandakan.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata selepas penerbangan itu dibuka, ianya akan merancakkan industri pelancongan tempatan dan memacu ekonomi penduduk setempat.

“Terdapat enam penerbangan terus antara Brunei dan Sandakan pada setiap minggu. Ini akan membawa lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini selepas mengadakan pertemuan dengan Pengurus Jualan Royal Brunei Sabah, Philip Lokupi.

Syarikat Penerbangan Royal Brunei akan menyediakan penerbangan terus antara Brunei dan Sandakan pada setiap Isnin hingga Ahad kecuali Khamis.

Pada Isnin, Jumaat dan Ahad, penerbangan itu akan berlepas dari Sandakan pada 3.05 petang manakala Selesa, Rabu dan Sabtu ialah pada 8.35 malam.

Sementara itu, Wong berkata tiba masanya Lapangan Terbang Sandakan itu dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Menurutnya pembukaan penerbangan terus antara Brunei dan Sandakan akan memudahkan penumpang dari Sandakan untuk transit di Brunei sebelum  ke London, Australia, Jepun, China dan lain-lain destinasi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *