Pemilik Kedai Cedera Diserang, Polis Kenal Pasti Individu Terbabit Pergaduhan Di Pusat Beli Belah

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

KOTA KINABALU: Polis sudah mengenal pasti beberapa individu dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki dalam kejadian di tingkat lima pusat sebuah beli belah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata belum ada tangkapan dilakukan dan polis sedang mengesan individu terbabit.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan namun polis sudah mengenal pasti dan minta mereka segera tampil sebelum tangkapan dilakukan ke atas individu terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya seorang pemilik kedai cedera di kepala dipercayai dipukul menggunakan besi dalam pergaduhan berkenaan.

“Mangsa berusia 29 tahun dikatakan diserang oleh beberapa lelaki sebelum beberapa rakan mangsa mangsa membantu lalu tercetus pergaduhan.

“Mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebagai pesakit luar. Motif pergaduhan masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Dalam kejadian jam 6 petang semalam, video berdurasi 37 saat memaparkan pergaduhan dua kumpulan lelaki di hadapan premis di tingkat lima sebuah pusat beli belah.

Dua kumpulan berkenaan dilihat saling membaling kerusi dan kejadian itu viral selepas dirakam sebelum dimuat naik menerusi laman Facebook. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *