KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan insiden penculikan tiga orang nelayan warga asing yang berlaku pagi hari ini diperairan Lahad Datu.
Katanya kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.58 pagi membabitkan sebuah bot menangkap ikan berhampiran sempadan laut Selatan Filipina.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 11.58 pagi dan saya difahamkan ia membabitkan penculikan nelayan yang berasal dari Indonesia iaitu dari suku Buton.
“Pihak keselamatan kita akan meneliti perkara ini. Difahamkan mereka (mangsa) di bawa ke Tawi-Tawi.
“Bagaimanapun, kita akan melihat dan meneliti keberadaan dan status mereka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Resepsi Hari Ulang Tahun Ke-74 Kemerdekaan Republik Indonesia, di Magellan Sutera Resort, hari ini.
Mohd Shafie menjelaskan bahawa beliau akan berusaha untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan kejadian terbabit.
Tambahnya kejadian terbabit berlaku di tempat sama berlakunya penculikan sebelum ini iaitu berhampiran dengan Selatan Filipina. -SabahNewsToday